Top Glove sasar capai pertumbuhan 50% pada 2025 - Utusan Malaysia

Top Glove sasar capai pertumbuhan 50% pada 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) menyasarkan untuk mencapai pertumbuhan jumlah sebanyak 50 peratus dan kembali ke kedudukan menguntungkan pada tahun hadapan.

Top Glove berkata, kejayaan ini akan membuka jalan untuk menyambung semula pembayaran dividen kepada pemegang saham setia syarikat.

“Ke hadapan, kami komited untuk pertumbuhan berterusan dan meraih semula kedudukan kepimpinan industri. Pendekatan kami untuk mencapainya termasuk, inovasi dan kualiti iaitu terus berinovasi dan menghasilkan produk bertaraf dunia, meningkatkan proses dan memastikan kepuasan pelanggan yang maksimum.

“Selain itu, kestabilan kewangan iaitu menyampaikan hasil kewangan yang mampan dan mencipta nilai jangka panjang untuk pelabur dan rakan kewangan kami serta kesejahteraan pekerja iaitu memberi keutamaan kepada kesejahteraan pekerja kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, Top Glove memaklumkan, pada 2025, pihaknya akan melancarkan Pelan Kelestarian FY2028, satu pelan strategik yang memberi tumpuan kepada pengurangan karbon dan amalan perniagaan mampan.

“Pelan ini, yang disokong oleh Lembaga Pengarah kami, menegaskan komitmen kami terhadap penjagaan alam sekitar.

“Sasaran jangka panjang kami adalah untuk mencapai Sifar Karbon menjelang tahun 2050, satu komitmen yang sedang kami usahakan melalui langkah-langkah inovatif dan praktikal,” katanya.

Dalam pada itu, prestasi kewangan kumpulan telah meningkat dengan ketara sepanjang tahun kewangan 2024 yang membawa syarikat lebih dekat untuk mencapai titik pulang modal.

Pada tahun kewangan 2024, kumpulan mencatatkan pendapatan jualan sebanyak RM2.51 bilion, peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding tahun kewangan 2023.

“Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) tahunan kami menjadi positif dengan nilai RM251 juta, mencatatkan peningkatan sebanyak 262 peratus berbanding tahun kewangan 2023. Jumlah Jualan juga meningkat sebanyak 19 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.

“Ini adalah petunjuk yang kukuh mengenai pemulihan pasaran dan kami berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan gelombang pemulihan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya