PETALING JAYA: Pertumbuhan Indeks Perdagangan Pengedaran (DTI) pada Oktober memberikan petunjuk awal bahawa perbelanjaan peribadi akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keseluruhan pada suku keempat.
TA Securities berkata, DTI meningkat sebanyak 5.1 peratus tahun ke tahun kepada 159.9 mata pada Oktober 2024, lebih baik daripada pertumbuhan 3.5 peratus tahun ke tahun yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Katanya, prestasi DTI disokong oleh kebangkitan berterusan dalam aktiviti ekonomi, didorong oleh peningkatan dalam pasaran buruh dan inflasi terurus sepanjang bulan.
“Dengan rasionalisasi subsidi bahan api RON95 ditangguhkan ke pertengahan 2025 dan inflasi kekal terkawal setakat ini, risiko menurun kepada perbelanjaan peribadi tahun ini kelihatan terhad.
“Tambahan pula, prestasi pasaran buruh dan aktiviti pelancongan baru-baru ini terus menyokong pengembangan ekonomi domestik, disokong oleh tahap guna tenaga yang stabil dan pertumbuhan gaji yang meningkat,” katanya dalam nota penyelidikan.
Firma penyelidikan berkata, untuk tempoh 10 bulan pertama 2024, DTI mencatatkan peningkatan purata tahun ke tahun sebanyak 4.4 peratus.
Menganalisis arah aliran ini, TA Securites berkata, purata pergerakan tiga bulan indeks pada Oktober 2024 menunjukkan pengembangan 4.1 peratus tahun ke tahun, mencerminkan sedikit penurunan daripada purata sebelumnya pada 4.3 peratus tahun ke tahun.
“Kami mengekalkan ramalan kami untuk pertumbuhan perbelanjaan peribadi pada kira-kira 6.0 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2024, meningkat daripada 4.8 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2024 (awal tahun sehingga kini: 5.3 peratus tahun ke tahun).
“Begitu juga, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK kami sebanyak 4.7 peratus untuk tempoh yang sama, sejajar dengan anggaran tahun penuh kami sebanyak 5.0 peratus untuk 2024,” ujarnya.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd. (Kenanga) berkata, jualan perdagangan pengedaran meningkat 5.5 peratus tahun ke tahun (September: 3.8 peratus), mencecah paras tertinggi tiga bulan.
Katanya, ini menunjukkan permulaan yang kukuh untuk suku terakhir kerana permintaan dalam negeri kekal berdaya tahan.
Bank pelaburan mengekalkan unjuran pertumbuhan jualan 2024 pada 6.0 peratus (2023: 7.7 peratus) dan dijangka berkembang kepada 7.6 peratus pada 2025
“Pertumbuhan jualan meningkat 5.6 peratus dalam 10 bulan pertama tahun ini (Januari hingga September: 5.6 peratus), di bawah sasaran tahun penuh kami sebanyak 6.0 peratus.
“Namun begitu, kami menjangkakan momentum akan meningkat menjelang akhir tahun di tengah-tengah perbelanjaan musim perayaan. Pertumbuhan akan disokong oleh pemindahan tunai fasa empat kerajaan di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada November.
“Selain itu, turut didorong oleh kenaikan gaji kakitangan kerajaan pada Disember, peningkatan berterusan dalam ketibaan pelancong dan pertumbuhan permintaan domestik yang mampan di tengah-tengah peningkatan pendapatan isi rumah,” jelasnya.
Kenanga mengunjurkan KDNK terus menyederhana pada suku akhir kepada 4.6 peratus apabila ekonomi kembali normal.
“Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK 2024 kami pada 5.0 peratus ( 2023: 3.6 peratus) dan menjangkakan ia menjadi sederhana sedikit kepada 4.8 peratus pada 2025,” jelasnya. – UTUSAN