Lukman raih jualan melebihi 10,000 unit tahun lalu - Utusan Malaysia

Lukman raih jualan melebihi 10,000 unit tahun lalu

LUKMAN NULKHAKIM menunjukkan cenderamata seperti baju korporat yang ditempah oleh pelanggan. -UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERTARIK melihat seorang Eksekutif Pemasaran dari sebuah syarikat percetakan datang menghantar barang seperti cenderamata berupa sebatang pen eksklusif ketika menjalani latihan praktikal pada semester akhir membuatkan Graduan Ijazah Bahasa Arab dan Komunikasi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Lukman Nulhakim Sahak@Ishak, 40 bertindak untuk mencuba bidang tersebut.

Lukman Nulhakim berkata, kebetulan syarikat tersebut ada membuka jawatan kosong dan eksekutif pemasaran yang datang itu bercerita mengenai komisen yang diperoleh dari setiap pen yang dijual.

“Pada waktu dia (Eksekutif pemasaran) menceritakan sekiranya kita menjual 10,000 batang pen dan hanya mendapat komisen dua puluh sen bagi setiap satu, sudah cukup untuk memperoleh RM2,000! Itu baru cerita jual pen.

“Eksekutif Pemasaran tersebut juga memberitahu lebih lanjut mengenai skop tugas antaranya bekerja dengan waktu yang praktikal, bebas menentukan pergerakan kerja harian membuatkan hati makin tertarik untuk mencuba. Ianya termasuk dalam ciri-ciri kerja yang saya mahu antaranya kerja tidak ikut waktu, bebas dan suka untuk keluar (bukan waktu pejabat).

“Disebabkan tertarik dengan cerita ini, ditambah dengan sokongan dari Penyelia saya yang menggalakkan untuk pergi temuduga, saya mengambil langkah untuk mencuba,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bermula sejak itu, selepas bergelumang dalam bidang percetakan selama 13 tahun, Lukman Nulhakim kini merupakan Pengurus LN CREATIVE dan Pengarah Syarikat LNC PRINT ROOM (M) Sdn. Bhd. yang terletak di Putra Nilai, Negeri Sembilan.

“Dengan tekad untuk mendalami lebih jauh dalam bidang percetakan, cenderamata dan seumpamanya, saya mengambil langkah penting untuk mendaftar syarikat melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 2 Ogos 2011.

“Keputusan ini didorong oleh sokongan padu daripada adik-beradik, isteri, dan rakan-rakan. Memulakan perniagaan dengan modal yang terhad, hasil simpanan sendiri serta bantuan modal dari adik-beradik, ianya memberi saya kekuatan untuk melangkah ke dunia perniagaan yang penuh cabaran ini,” katanya.

Sehingga kini, Lukman berkata, antara produk percetakan yang mencatatkan jualan tertinggi tahun lalu adalah bunting atau gegantung, dengan jumlah penjualan melebihi 10,000 unit.

“Dengan pencapaian ini saya melihat ianya sebagai tanda kepercayaan pelanggan terhadap produk kami. Untuk tahun ini dan mendatang, kami berazam untuk mencapai lebih banyak lagi, dengan sasaran yang lebih tinggi dan terus memperkukuhkan kedudukan kami dalam pasaran.

“Kami komited untuk memberikan yang terbaik dan terus berkembang demi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat,” katanya.

Lebih membanggakan, Lukman berkata, kepercayaan yang diberikan oleh pelanggannya sangat berharga.

“Kami pernah beberapa kali terlibat dalam menjayakan program-program peringkat negeri dan kebangsaan khususnya dalam menyediakan khidmat reka bentuk, percetakan dan cenderamata. Kepercayaan ini semakin kukuh dengan agensi kerajaan, swasta dan pelanggan sekitar yang sentiasa mempercayai kami untuk membekalkan kehendak mereka.

“Sejak beberapa tahun Pasca Covid-19 ini, ada kontrak kerja tahunan kami telah disambung. Ini menunjukkan bahawa harga atau hasil kerja kami diterima oleh pelanggan.

“Selain itu, produk yang kami cetak juga telah dibawa ke luar negara untuk tujuan kegunaan pameran dan keperluan program pihak pelanggan,” katanya.

Lukman Nulhakim turut menekankan usahawan lain agar jangan takut untuk mencuba dan menerima risiko.

“Setiap hari dalam perniagaan adalah peluang untuk belajar perkara baru menuntut untuk membuat keputusan dengan cepat dan terbaik, dan ini adalah sesuatu yang harus diterima dengan hati terbuka.

“Sebagai seorang usahawan, fokus pada matlamat yang ingin dicapai adalah kunci kejayaan. Setiap keputusan dan tindakan harus dilakukan dengan penuh kesedaran, agar kita jelas dengan arah tuju perniagaan kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya