Gaji asas perlu seimbang dengan kos sara hidup - Utusan Malaysia

Gaji asas perlu seimbang dengan kos sara hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMINTAAN gaji asas yang tinggi daripada segelintir graduan universiti telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat di negara ini untuk mendapatkan gaji yang setimpal de­ngan ekonomi semasa.

Gaji permulaan yang rendah serta ‘beku’ terus me­nimbulkan cabaran besar dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, terutama dirasai di kawasan metropolitan utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Namun, perlu diakui juga bahawa kos sara hidup yang semakin meningkat kini telah melebihi kadar gaji permulaan, menyebabkan tekanan kewangan yang ketara kepada graduan baharu.

Mantan Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Kesatuan Mahasiswa UPM Sesi 2023/2024, Akmal Awang @ Mohd Noor berkata, tekanan kewangan yang ketara mendorong para graduan baru menuntut gaji asas yang lebih tinggi akhir-akhir ini.

“Tanggungjawab kepada keluarga juga mendesak para graduan untuk lebih demand kenaikkan gaji asas permulaan yang diterima oleh mereka.

“Persoalan sama ada kenaikan tangga gaji mampu menyelesaikan isu tekanan kewangan graduan baru sering menjadi perbincangan hangat dan ia memerlukan penelitian dari dua sudut, iaitu majikan dan pekerja.

“Pada panda­ngan saya, jika tangga gaji minimum dinaikkan daripada RM1,800 kepada RM2,500, ia mungkin membawa manfaat besar kepada graduan, ter­utamanya yang bekerja di kawasan metropolitan.

“Kenaikan gaji asas ini dapat membantu mereka memenuhi keperluan asas harian, namun persoalannya, adakah ia dapat mengelakkan mereka daripada beban kewangan jangka panjang?” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, kesan kenaikan gaji juga perlu dilihat kepada kemampuan majikan kerana mereka yang terpaksa menanggung kos gaji lebih tinggi berkemungkinan terpaksa mengurangkan kos operasi, yang boleh membawa kepada pengurangan pekerja.

“Malah, kenaikan gaji asas turut berpotensi mendorong kenaikan kos sara hidup, apabila industri menaikkan harga barangan dan perkhidmatan bagi menampung kos operasi mereka.

“Dalam pada masa sama, peranan kerajaan amat penting dalam meningkatkan nilai mata wang negara.

“Jika isu ini tidak ditangani dengan baik, lebih ramai graduan baru mungkin terpaksa bekerja dengan gaji yang tidak setimpal dengan kelayakan mereka,” katanya.

Akmal berkata, keadaan yang tidak ditangani boleh menggalakkan mereka berhijrah ke negara lain yang menawarkan ganjaran gaji lebih tinggi dalam jangka masa panjang.

Sementara itu, graduan Bachelor Kaunseling dengan Kepujian universiti awam, Justine Anak Jarop berkata, permintaan gaji asas yang lebih tinggi oleh graduan baharu adalah isu penting, terutama dalam konteks kos sara hidup yang semakin meningkat di kawasan bandar utama di negara ini.

“Sebagai seorang graduan Kaunseling yang kini meneruskan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Putra Malaysia sambil bekerja, saya memahami secara langsung cabaran mengimbangi keperluan kewangan, pembelajaran, dan kesejahteraan diri.

“Graduan baharu sememangnya berhak untuk mendapatkan gaji permulaan yang lebih adil kerana kos sara hidup yang tinggi menimbulkan tekanan kewangan dan psikologi. Namun, saya percaya bahawa pendekatan terbaik adalah keseimbangan terhadap dua perkara ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, graduan juga perlu terus membina kemahiran, meningkatkan daya saing dan mencari peluang untuk menambah nilai kepada organisasi.

“Pada masa yang sama, majikan dan pihak berkepentingan perlu mengkaji semula struktur gaji agar seiring dengan realiti semasa, kerana tenaga kerja muda yang stabil dari segi kewangan dan mental akan lebih produktif dan berdaya saing,” katanya.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Muhammad Izzuddin Rosli berkata, permintaan itu turut mencerminkan harapan mereka agar sektor pekerjaan dapat menyediakan gaji yang lebih setimpal dengan tanggungjawab yang diamanahkan, serta kos kehidupan yang semakin tinggi.

“Jika tiada penyesuaian terhadap gaji permulaan, banyak graduan terpaksa berhadapan dengan keputusan sukar, termasuk menangguhkan cita-cita mereka atau mencari peluang pekerjaan di luar negara yang menawarkan gaji lebih kompetitif.

“Saya lihat graduan universiti pada masa kini menghadapi cabaran kewangan yang semakin kompleks, terutamanya akibat peningkatan kos sara hidup yang tidak seiring dengan kadar kenaikan gaji permulaan,” katanya.

Beliau berpandangan bahawa dalam situasi ini, permintaan graduan untuk gaji asas yang lebih tinggi bukan sekadar kehendak, tetapi satu keperluan untuk memastikan mereka mampu menjalani kehidupan yang selesa dan stabil selepas memasuki alam pekerjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya