ISU gaji permulaan bagi graduan baharu sering menjadi topik perdebatan antara majikan dan pencari kerja dalam dunia pekerjaan serta ekonomi semasa yang semakin mencabar.
Graduan muda yang memasuki pasaran kerja kerap kali meletakkan harapan tinggi terhadap gaji asas, manakala majikan pula mempertimbangkan kemahiran, pengalaman dan nilai yang mampu disumbangkan oleh pekerja baharu.
Persoalannya, adakah permintaan graduan ini satu bentuk demand atau permintaan yang berlebihan, atau sebenarnya mencerminkan realiti ekonomi semasa yang memerlukan keseimbangan antara kos sara hidup dan ganjaran tenaga kerja?
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, gaji asas dalam realiti ekonomi mencerminkan tahap kemahiran semasa seseorang, dan kenaikan gaji hanya berlaku apabila nilai kerja mereka meningkat.
Jelasnya, ketidakpadanan antara kelayakan graduan dan keperluan industri terus menjadi cabaran utama dan para graduan baharu diingatkan untuk tidak terlalu mementingkan gaji permulaan.
“Gaji permulaan juga bergantung kepada kelayakan akademik, bidang pengajian dan kemahiran graduan selain majikan sanggup membayar lebih kepada graduan yang memiliki kemahiran sesuai dengan keperluan syarikat.
“Bagaimanapun, bagi mereka yang kurang berkemahiran, skim latihan dan tempoh percubaan akan disediakan sebelum gaji ditingkatkan.
“Berdasarkan Tinjauan Gaji MEF untuk Eksekutif 2023, Eksekutif yang baru diambil bekerja dan memegang ijazah kepujian sebagai kelayakan akademik mereka, tanpa pengalaman kerja terdahulu, akan ditawarkan purata gaji pokok bulanan sebanyak RM2,952.
“Purata gaji kasar bulanan mereka pula, termasuk elaun tetap, ialah sekitar RM3,298 dan ia terdiri daripada elaun tetap bulanan yang diberikan kepada eksekutif sebagai tambahan kepada gaji pokok mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, jelas beliau, permintaan graduan untuk gaji lebih tinggi itu boleh dianggap wajar dalam konteks ekonomi semasa, namun ia harus setimpal dengan kelayakkan yang boleh mereka tawarkan kepada majikan.
“Hal ini kerana, gaji permulaan yang tinggi akan menjadi bebanan jika graduan baharu tidak boleh memberi nilai kerja yang setimpal dengan gaji yang dibayar.
“Oleh itu, sebaiknya para graduan baharu perlu lebih fleksibel, menerima peluang walaupun tidak berkaitan dengan bidang pengajian kerana pekerjaan pertama adalah ruang belajar, bukan sekadar soal gaji.
Bagaimanapun, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan, pada zaman sekarang jelas menunjukkan bahawa gaji para graduan tidak banyak meningkat berbanding dengan kos sara hidup yang tinggi.
“Sebagai contoh, pada 1990-an gaji permulaan graduan sekitar RM1,400 sebulan, manakala harga rumah di Lembah Klang kurang daripada RM200,000, di mana ia tempoh 30 tahun yang lalu berbanding dengan keperluan utama iaitu harga rumah semasa.
“Namun, hari ini, purata gaji graduan baharu pada RM2,500 hingga RM3,000 tidak mampu menyaingi harga rumah yang mencecah RM400,000 ke atas, dengan purata nasional mencapai RM467,144,” katanya.
Beliau berkata, menurut laporan Indeks Kos Sara Hidup (PAKW) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi setiap keluarga bermula 2023 iaitu RM4,729, jelas membuktikan kos sara hidup telah jauh meningkat berbanding gaji yang masih lagi perlahan kenaikannya.
“Graduan yang baru bekerja dengan gaji permulaan antara RM2,500 hingga RM3,000 di bandar besar seperti di Lembah Klang perlu berbelanja dengan hemat serta tinggal bersama dengan keluarga ataupun berkongsi dengan rakan untuk melepasi kos sara hidup RM4,729 itu.
Aimi berkata, masalah itu timbul akibat model ekonomi Malaysia yang kurang berubah sejak 1990-an, walaupun produktiviti meningkat dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada purata lapan peratus, namun kenaikan gaji tidak selari.
“Akhirnya negara terperangkap dalam negara kelas pertengahan dan sulit untuk mencapai tahap negara maju.
“Selain itu, kejatuhan nilai ringgit, bergantung pada barangan import, serta kurang tumpuan pada pengeluaran tempatan dan sekuriti makanan turut menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup yang mendesak,” katanya. – UTUSAN