MEMPUNYAI bilik kecil bukanlah penghalang untuk mencipta ruang ‘wardrobe’ pakaian yang kemas, teratur dan bergaya, namun masih kelihatan minimali tanpa memakan ruang yang banyak.
Dengan pendekatan ini, anda bukan sahaja dapat menjimatkan ruang tetapi juga menikmati kelebihan seperti memilih pakaian dengan lebih mudah dan mengurangkan tekanan harian dengan melihat ruangan yang kemas.
Wardrobe minimalis bukan sekadar pilihan praktikal, ia juga mencerminkan gaya hidup yang lebih bijak dan bebas dari keterlaluan. Oleh itu, Ringgit pada minggu ini menyediakan enam panduan bagi anda yang ingin mewujudkan sebuah wardrobe minimalis.
Pilih almari multifungsi
Gunakan almari pakaian yang mempunyai pelbagai fungsi, seperti almari dengan cermin terbina, laci tambahan, atau rak terbuka kerana menjimatkan ruang dan memberi lebih banyak tempat penyimpanan.
Daripada almari besar, pilihan ini lebih baik untuk menyimpan pakaian supaya ruangan bilik kecil akan terlihat luas.
Gunakan teknik melipat dan susun secara vertikal
Teknik lipatan KonMari di dalam laci dapat menjimatkan ruang dan dengan menyusun secara vertikal, semua pakaian dapat dilihat dengan jelas tanpa perlu mengalihkan yang lain.
Anda juga boleh manfaatkan ruang secara vertikal dengan menambah rod penggantung bertingkat atau rak gantung. Ini membantu memaksimumkan ruang di dalam almari kecil.
Gunakan hanger pelbagai fungsi
Memilih hanger yang direka untuk menggantung beberapa lapisan pakaian, seperti hanger berbilang tingkat untuk seluar atau selendang mampu untuk memaksimumkan ruang gantungan di wardrobe anda.
Hadkan jumlah pakaian dan gunakan bakul penyimpanan
Kurangkan jumlah pakaian kepada yang benar-benar diperlukan dan gunakan alat penyimpanan seperti kotak simpanan pakaian yang boleh dilipat, bakul, atau organizer laci.
Ini menjadikan ruang kecil anda lebih tersusun dan mempunyai pelbagai fungsi tanpa perlu menggunakan barang yang banyak untuk setiap item pakaian.
Inovasi pintu almari sebagai ruang tambahan
Manfaatkan bahagian dalam pintu almari dengan memasang cangkuk, rak gantung, atau organizer.
Ia boleh digunakan untuk menyimpan aksesori seperti tali pinggang, tudung, topi, atau kasut kecil. Ini antara cara bijak untuk menjimatkan ruang tanpa menjejaskan estetika ruangan.
Amalkan prinsip “Satu masuk, satu keluar”
Setiap kali anda membeli pakaian baru, buang atau dermakan sekurang-kurangnya satu item yang lama atau dipanggil sebagai prinsip “Satu masuk, satu keluar”
Prinsip ini secara tidak langsung mampu untuk membantu memastikan almari anda tidak sesak dan kekal minimalis. – UTUSAN