SHAH ALAM: Ulyaa Natural Skinfood pengeluar produk makanan dan penjagaan kulit fermentasi semula jadi yang premium menyasarkan untuk menjadi pengeluar produk semula jadi halal terkemuka.
Pengasasnya, Nurul Alia Md Noor berkata, syarikat menghasilkan produk yang berasaskan penyelidikan menggunakan bio-fermentasi lanjutan untuk meningkatkan kebaikan dalam bahan semula jadi, sekali gus menyampaikan selamat.
Buat masa ini, produk cuka kurmanya dikenali sebagai Khall di bawah jenama Date Valley telah menerima pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Julai tahun lalu.
“Selain itu, kami juga ada mengeluarkan minuman prebiotik sedia diminum Dee-V dari cuka kurma dengan rasa semula jadi. Minuman ini mengandungi kesan probiotik, prebiotik, enzim dan asid organik.
“Minuman yang mempunyai agen antioksidan yang kuat dan boleh meningkatkan sistem imun badan ini didatangkan dalam empat perisa iaitu beri, madu, limau nipis dan halia.
“Kami masih lagi dalam proses untuk mendapatkan pensijilan halal untuk minuman ini dan dijangka diperoleh pada akhir tahun ini. Proses audit agak tertangguh sebelum ini kerana kami baru berpindah ke kilang baharu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kilangnya di Puncak Alam di sini baru-baru ini.
Nurul Alia yang menubuhkan syarikat tersebut semasa menjalankan projek akhir semasa menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang bioteknologi pada 2012 berkata, produknya kita boleh didapati di semua pasar raya AEON di seluruh negara dan beberapa cawangan RT Rosyam serta Lulu Hypermarket.
Tambahnya, syarikatnya turut menyediakan perkhidmatan pengeluar peralatan asal (OEM).
Menurutnya, ketika ini, syarikat telah menyediakan perkhidmatan tersebut kepada kira-kira 10 syarikat dan empat daripadanya aktif serta menghabis produk setiap bulan.
“Selain itu, kami juga mengeluarkan produk penjagaan kulit fermentasi untuk bayi di bawah jenama Orga Simply Care.
“Produk bayi ini boleh didapati di beberapa farmasi di negara ini dan kami juga dalam proses untuk memasuki sebuah rangkaian syarikat penjagaan kesihatan,” ujarnya. – UTUSAN