PETALING JAYA: Pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad mendapat sambutan positif berikutan permintaan yang kukuh dan berterusan untuk hartanah bertanah.
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Pembangunan Hartanah, Matrix Concepts, Chai Keng Wai berkata, hal ini disebabkan sambutan projek di Bandar Sri Sendayan memberangsangkan.
“Demografik pembeli rumah kami termasuk pembeli tempatan dan di Lembah Klang, dengan peratusan pembeli dari Lembah Klang tersebut yang semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, iaitu 60 hingga 70 peratus daripada pasaran kami.
“Bandar Seri Sendayan kekal sebagai pilihan utama bagi mereka yang mencari gaya hidup seimbang, menawarkan gabungan kehidupan berkualiti dengan pelbagai kemudahan yang disediakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Selain itu, jelas Keng Wai, harga hartanah sejajar dengan pasaran sasaran yang mampu menarik perhatian pembeli berpotensi.
“Rumah jenis dua tingkat yang dalam lingkungan harga bawah RM600,000 adalah antara produk yang paling diminati dan mendapat permintaan.
“Baru-baru ini, kami menerima sambutan jualan yang luar biasa bagi projek seluas 370 ekar di EKA Heights,” katanya.
Sementara itu, Lembah Klang pula, jumlah temu janji dan lawatan ke galeri jualan Levia menunjukkan pemulihan dalam permintaan pasaran.
“Walau bagaimanapun, dengan ketersediaan maklumat dan iklan dalam talian yang luas, pembeli rumah dan terutamanya di Lembah Klang sekarang mempunyai lebih banyak pilihan, yang mendorong kepada pembelian.
“Pembeli cenderung untuk membandingkan beberapa projek sebelum membuat keputusan, dan dengan itu projek dengan perancangan yang lebih baik dan pelbagai kemudahan menarik mempunyai peluang yang lebih kuat dalam pasaran yang kompetitif.
Sementara itu, projek Matrix Concepts di Johor Bahru turut menunjukkan permintaan yang konsisten.
“Pembeli utama di sini adalah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, yang mencari rumah mampu milik dan luas, serta menawarkan gaya hidup yang seimbang.
“Jaraknya yang dekat dengan Shuttle Tebrau memastikan akses mudah antara Johor dan Singapura, menjadikannya sangat mudah untuk perjalanan harian dan pulang pada hujung minggu sambil menikmati fasiliti serta kemudahan seperti Taman Tema dan pasar raya,” katanya.
Selain itu, Keng Wai berkata, fokus syarikat di luar negara pula adalah Menara Syariah di Pantai Indah Kapuk 2, di mana satu blok untuk dijual manakala sebuah lagi untuk disewa.
“Kami sedang dalam perbincangan lanjut dengan pembeli dan penyewa berpotensi, dengan hasil yang dijangka pada tahun kewangan 2025.
“Selain itu, projek ketiga di M333 St Kilda, Australia turut berjalan lancar dengan pembinaannya yang dijangka siap pada Jun 2025,” katanya. – UTUSAN