PETALING JAYA: TGV Cinemas telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bersama Coway BEREX untuk memperkenalkan pawagam dengan katil yang dilengkapi dengan tilam pintar.
Ketua Pegawai Eksekutif TGV Cinemas,Tan Lay Han berkata, pawagam katil INDULGE Coway BEREX yang baru dilancarkan itu menggabungkan kemewahan, keselesaan, dan teknologi canggih untuk memberikan pengalaman baharu dalam menonton wayang.
Katanya, kombinasi keselesaan yang boleh disesuaikan dan teknologi berfokuskan kesihatan ini membawakan tahap inovasi dan kemewahan baharu kepada pengalaman sinematik.
“Dengan tumpuan kepada keselesaan tetamu, pawagam katil ini dipertingkatkan dengan sistem bunyi ATMOS dan projektor laser yang menawarkan pengalaman pawagam yang premium, menjadikan TGV sebagai pilihan utama penonton wayang yang mahukan keselesaan dan inovasi luar biasa.
“Pawagam katil ini dilengkapi dengan tilam pintar Coway BEREX yang membolehkan tetamu melaras tetapan ketegangan dan postur tilam mengikut tahap keselesaan mereka,” katanya.
Selain itu, Lay Han berkata, katil itu turut menawarkan fungsi kelegaan dan regangan otot, memberikan dimensi terapeutik tambahan terhadap pengalaman menonton wayang.
“Kami gembira kerana dapat bekerjasama dengan Coway BEREX untuk membawakan pengalaman pawagam katil yang unik ini.
“Coway BEREX adalah sebuah jenama yang terkenal dengan komitmennya terhadap kesejahteraan rumah dan produknya yang berkualiti tinggi,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerjasama itu merupakan satu lagi pencapaian penting bagi syarikat untuk terus berinovasi dalam komitmen kami membina pengalaman pawagam terbaik untuk pelanggan kami.
“Kami amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan TGV Cinemas bagi melancarkan pengalaman pawagam katil unik yang menampilkan Coway BEREX Tilam Pintar di Malaysia.
“Dengan komitmen yang sama untuk meningkatkan pengalaman gaya hidup, kami menetapkan satu penanda aras baharu untuk keselesaan dan hiburan,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Pemasaran dan Produk Coway Malaysia, Ryan Jung berkata langkah penting itu menandakan usaha syarikat mengembangkan komitmen untuk meningkatkan kesejahteraan bukan hanya di rumah, tetapi juga dengan membawakan keselesaan dan ketenangan terbaik ke dalam persekitaran baharu.
“Pengenalan INDULGE Coway BEREX adalah bukti kepada komitmen TGV untuk memperkayakan pengalaman sinematik, menawarkan gabungan sempurna antara keselesaan dan gaya kepada penonton wayang pada harga kompetitif RM120 setiap tiket.
“Harga ini termasuk hidangan makanan, minuman dan pencuci mulut bagi memastikan pengalaman serba mewah yang padat dengan nilai,” jelasnya. – UTUSAN