Kami kecewa, penat – Mangsa - Utusan Malaysia

Kami kecewa, penat – Mangsa

PEMBELI yang terpaksa berdepan dengan masalah projek terbengkalai berikutan pemaju yang tidak bertanggungjawab memerlukan keadilan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU projek perumahan bermasalah sama ada terbengkalai, ditipu pemaju atau lambat disiapkan terus mendapat perhatian apabila semakin ramai pembeli rumah yang sudah penat menunggu tampil menyuarakan rasa kecewa mereka.

Masalah ini bukan sahaja memberi kesan besar kepada pembeli, tetapi juga menimbulkan persoalan tentang ketelusan dan tanggungjawab pemaju dalam memastikan projek perumahan terlepas daripada sebarang masalah sebelum menyerahkan kunci kepada pembeli.

Meskipun pelbagai jaminan diberikan, realitinya ramai pembeli terpaksa menunggu lama tanpa sebarang perkembangan yang memuaskan. Situasi ini mengakibatkan mangsa hilang harapan dan keyakinan terhadap sistem yang sepatutnya melindungi kepentingan mereka.

Pekerja swasta, Bakhtiar Abu Serar berkata, beliau pernah menjadi mangsa projek perumahan bermasalah dan ia sangat mengecewakan kerana rumah yang dibeli tidak seperti dijanjikan.

“Banyak perkara yang tidak seperti dijanjikan dan urusan waranti mengambil masa yang sangat lama, manakala proses penyiapan dan pembaikan kecacatan dilakukan dengan lambat dan tidak teratur sama sekali.

“Saya berasa amat kecewa kerana tempoh penyelesaian mengambil masa yang terlalu lama, melebihi 30 hari seperti yang sepatutnya termaktub dalam perjanjian jual beli.

“Situasi ini memberi kesan besar kepada saya, terutamanya dari segi emosi dan kewangan kerana telah membazirkan masa serta saya terpaksa membuat pelbagai pengaturan semula untuk urusan pemindahan rumah kerana jadual yang tidak dipatuhi oleh pihak pemaju,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, dalam menghadapi situasi itu, beliau tidak menerima sebarang bantuan seperti yang dijanjikan, malah, pihak guaman seolah-olah tidak mengambil berat dan menyatakan ia di luar kawalan mereka.

“Bagaimanapun, saya telah mendapatkan nasihat daripada Suruhanjaya Pengguna untuk mengetahui langkah-langkah yang boleh diambil.

“Sebagai nasihat kepada orang lain yang mungkin menghadapi situasi yang sama, pastikan semua tawaran daripada pemaju direkodkan dan didokumentasikan dengan jelas. Jangan bergantung sepenuhnya kepada janji lisan,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Norhamizi Norsis turut meluahkan kekesalannya terhadap janji-janji pemaju sebelum menandatangani perjanjian jual beli rumah yang menjadi pengalaman buruk baginya sebagai pembeli rumah pertama.

“Saya merasa sangat kecewa dan penat menghadapi proses yang panjang tetapi tidak ada jalan penyelesaian.

“Masalah sebelum mendapatkan kunci sudah satu hal, dan masalah dalam Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP) selama dua tahun pula menambahkan lagi sakit kepala saya sebagai pembeli,” katanya.

Beliau berkata, alasan pemaju yang menyalahkan kontraktor utama, dan kontraktor utama yang menyalahkan pemaju, membuat situasi semakin rumit.

“Saling tuding-menuding jari ibarat gajah lawan gajah, semut mati di tengah-tengah. Kesannya, pembeli terpaksa melakukan dua hingga tiga kerja sampingan semata-mata untuk membayar ansuran rumah yang belum diduduki, di samping membayar sewa rumah lain.

“Pihak guaman juga tidak membantu pembeli sama sekali. Bak kata orang, konflik kepentingan. Sistem sedia ada pula terlalu rumit. Pembeli sepatutnya dipermudahkan urusan dengan kebebasan menguruskan sendiri guaman dan perkara-perkara lain,” katanya.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Nuranisa Norzahan berkata, menghadapi projek perumahan bermasalah adalah pengalaman yang sangat mencabar, terutama dengan janji manis daripada pihak pemaju.

“Pengalaman saya, pihak pemaju pernah berjanji untuk menyerahkan kunci rumah pada Januari 2022, tetapi janji itu tidak ditunaikan. Sebagai penduduk, kami terpaksa membuat laporan kepada pihak KPKT untuk menuntut penyelesaian.

“Selain itu, pemaju tidak telus memberikan maklumat, seperti ketiadaan parkir berbumbung bagi beberapa unit dari tingkat 11 hingga 15,” katanya.

Katanya, lebih mengecewakan, pemaju hanya memaklumkan jumlah bayaran penyelenggaraan bulanan selepas enam bulan, dengan invois dikeluarkan untuk menuntut bayaran tunggakan secara keseluruhan.

“Saya terpaksa membayar tunggakan sebanyak RM1,155 (RM192.50 x 6 bulan). Sebelum itu, kami juga telah menanggung kos membayar dua rumah selama setahun sebelum menerima kunci.

“Oleh itu, kami sebagai penduduk bersatu untuk berunding dengan pemaju dan membuat laporan kepada pihak berkuasa tentang masalah ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya