MINAT yang mendalam dalam bidang membaiki komputer dan laptop ketika melanjutkan pelajaran pada Tahun Dua Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 2012 membolehkan Ketua Pegawai Eksekutif zikrone IT Holding M Sdn. Bhd., Muhd. Amirul Haikal Misman, 32 menjana pendapatan sehingga RM120,000 sebulan.
Menurutnya yang lebih dikenali sebagai Haikal, pada ketika itu, dia mampu mencecah pendapatan sehingga RM7,000 sebulan ketika masih bergelar pelajar.
“Saya datang dari keluarga susah dan menerima bantuan asnaf untuk melanjutkan pelajaran. Pada waktu itu, arwah ayah sudah meninggal dan ibu merupakan seorang tukang cuci menyara saya dan tiga adik-beradik lain.
“Saya melihat di USIM ketika itu tidak ramai yang berkebolehan membaiki komputer riba dan komputer. Jadi, saya ambil peluang membantu rakan-rakan terdekat dan mula menjadi bualan rakan lain sehingga saya mampu membuka sebuah kedai di Student Mall, USIM.
“Pada waktu itu saya mampu membaiki laptop dan komputer serendah caj RM30 hingga RM250. Alhamdulillah selepas tamat pengajian pada 2017 dan mendapat sambutan ramai, saya mula membuka kedai sendiri di Putra Nilai, Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Jelas Haikal, dia melihat teknologi maklumat ini sangat luas dan berpotensi besar menjana pendapatan.
“Bagaimanapun, dengan syarat kita perlu ada ilmu pengetahuan dan tahu mengenai teknologi,” katanya.
Antara jenis perniagaan adalah servis berkaitan IT, menyediakan ‘onsite’ dan ‘inhouse’ membaiki komputer riba dan papan induk komputer sehingga peringkat Ball Grid Array (BGA) serta menyediakan tenaga kerja teknikal untuk IBM Malaysia dan J&T ekspress.
Mengulas lanjut, minimum pendapatannya pada 2023 adalah RM890,000 dan ke atas.
“Saya juga menyasarkan capai RM6 juta pada tahun hadapan.
“Kini, saya mempunyai empat lokasi kedai di Student Mall, USIM, Low Yat Plaza, Kuala Lumpur, Kuala Selangor serta sebuah lagi hub membaiki komputer di Thailand dijangka dibuka pada Mac 2025,” katanya kini mempunyai lebih 15 kakitangan.
Dalam pada itu, Haikal memaklumkan, mengenai persaingan jauh lebih sengit disebabkan kuasa tular dan pemasaran media sosial.
“Namun, kami berpegang dengan prinsip menjaga kualiti dan mengembangkan pengetahuan dalam bidang IT.
“Kita tahu bidang ini agak pantas selepas adanya kecerdasan buatan (AI) dan kita perlahan-lahan mengikut trend terbaru dan sedia ada,” katanya.
Kini, Haikal juga sedang membantu Program JUMPER Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) iaitu program latihan keusahawanan bagi siswazah Bumiputera.
“Saya mempunyai empat orang graduan usahawan bumiputera untuk dilatih menjadi bakal usahawan,” katanya.
Haikal turut menasihatkan mana-mana bakal usahawan yang berminat untuk menjalankan perniagaan agar mendalami bidang yang diminati sebanyak 200 peratus.
“Bagi saya apabila kita mendalami perniagaan uang diceburi kita dapat memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan dan seterusnya memastikan perniagaan terus diterima baik,” katanya. – UTUSAN