ECRL jadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di pantai timur - Utusan Malaysia

ECRL jadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di pantai timur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan berfungsi sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi, memupuk perdagangan dan pelaburan, terutamanya dalam sektor seperti pembuatan, logistik dan teknologi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) apabila siap nanti, kata TA Securities.

Firma penyelidikan berkata, projek tersebut juga akan memanfaatkan perniagaan tempatan yang terlibat dalam rantaian bekalan.

Katanya, satu perkembangan penting yang diperhatikan adalah ECRL yang kini lebih 70 peratus siap akan merevolusikan infrastruktur rantau ini.

“Dijangka mula beroperasi pada 2027, ECRL akan menghubungkan Pelabuhan Klang dengan pelabuhan pantai timur, memudahkan pengangkutan barang dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur.

“Ini akan merangsang pertumbuhan perindustrian, menyediakan pengeluar dengan pilihan logistik baharu untuk eksport,” katanya dalam nota penyelidikan.

TA Securites berkata, rantau ECER telah menarik pelaburan yang besar dengan menyaksikan pengambilan yang kukuh di taman perindustrian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Terengganu dan Pahang.

“Di Terengganu, Taman Biopolimer Kerteh (KBP) menjadi tuan rumah syarikat antarabangsa seperti CJ Bio dan Arkema.

“Sementara itu, Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China 3 (MCKIP3) di Pahang, sebuah taman perindustrian yang dilanggan sepenuhnya, termasuk pemain utama China seperti Alliance Steel, Maxtrek Tyres dan Camel Power.

“Taman Automotif Pekan (PAP) dan Taman Teknologi Pahang (PTP) juga menunjukkan pelaburan yang menjanjikan, termasuk Synapse Network, pengendali pusat data Kanada,” ujarnya.

Firma berkata, bagi menyokong keperluan pembangunan tanah merentasi pelbagai negeri, pihak ambil perhatian bahawa banyak projek pembinaan infrastruktur dan bangunan telah dianugerahkan kepada firma pembinaan tempatan.

“Antaranya ialah projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan yang baharu, bernilai kira-kira RM2 bilion. Terletak bersebelahan dengan pembangunan bercampur Aerospace City di tapak seluas 5,042 hektar, lapangan terbang itu direka bentuk sebagai hab logistik dengan kapasiti 250,000 penumpang setahun.

“Ia bertujuan untuk meningkatkan pengangkutan udara dan pergerakan penumpang antara China dan Kuantan, memandangkan kedudukannya berdekatan dengan MCKIP,” ujarnya.

Untuk makluman, Gading Group Bhd., sebuah syarikat tempatan dengan portfolio perniagaan yang merangkumi industri aeroangkasa, marin, pertahanan dan teknologi tentera telah dilantik sebagai pemaju projek yang dijangka siap pada 2026.

Katanya, proses tender terbuka sedang dijalankan, dengan keputusan dijangkakan oleh separuh pertama 2025.

“Kami percaya Gamuda Bhd. (beli, harga sasaran (TP) pada RM10.98), IJM Corporation Bhd (beli, TP: RM4.00), WCT Holdings Bhd. (beli, TP: RM1.54) dan Citaglobal Bhd (tidak dinilai) boleh muncul sebagai penerima manfaat berpotensi, disokong oleh rekod prestasi mereka yang mantap dalam pembinaan infrastruktur,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya