Dana lebih tinggi, projek peralihan tenaga berpotensi jana ekonomi - Utusan Malaysia

Dana lebih tinggi, projek peralihan tenaga berpotensi jana ekonomi

NETR
Industri solar adalah elemen utama yang menyumbang dalam peralihan tenaga negara yang memerlukan lebih banyak insentif dalam Belanjawan 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUNTUKAN sebanyak RM300 juta di bawah Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara berbanding RM100 juta yang diperuntukkan tahun ini merupakan langkah positif yang diambil oleh kerajaan dalam Belanjawan 2025 bagi merangsangkan lagi sektor ini.

Peningkatan peruntukan yang lebih besar itu dilihat sebagai langkah yang tepat pada masanya untuk menggalakkan pelaksanaan dan perancangan projek tenaga hijau dalam negara.

Ini secara tidak langsung sejajar dengan komitmen negara terhadap mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 dan meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu dalam sistem pembekalan elektrik daripada 25 kepada 70 peratus.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, projek infrastruktur di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menjadi penjana ekonomi kepada kawasan-kawasan yang terlibat.

Bukan sahaja dari aspek bekalan barangan, beliau berkata, projek-projek ini juga membuka peluang pekerjaan serta peluang perniagaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai entiti sokongan atau pun vendor kepada pihak yang bertanggungjawab melaksanakannya.

“Ia juga turut menjadi satu tarikan kepada para pelabur luar mahupun dalam negeri kerana keprihatinan kerajaan dalam membangunkan industri dengan mengambil kira komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Oleh itu, negara juga bakal mendapat aliran teknologi baharu dalam ESG selain dari pada aliran kewangan, pembangunan keupayaan PMKS melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Ini boleh meletakkan Malaysia sebagai negara yang penting dalam rantaian nilai bekalan industri global ESG ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Aimi Zulhazmi berkata, penyertaan pihak swasta dan kerajaan iaitu Kerjasama Awam-Swasta (PPP) adalah antara yang terbaik dari aspek membangunkan industri ESG.

“Galakan dan insentif mesti diadakan dari aspek pelaburan, percukaian dan pengurusan berautonomi.

“Ia mengurangkan bebanan kewangan kerajaan dan pada masa yang sama memberi autoriti kepada pihak swasta dalam pelaksanaan projek-projek ESG,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, saiz dana yang besar sudah pasti akan memberi impak positif kepada perlaksanaan projek-projek peralihan tenaga.

Jelasnya, ia semestinya selari dengan komitmen ESG disebabkan peralihan tenaga merupakan sebahagian daripada ESG iaitu dari sudut kesan alam sekitar.

“Namun, usaha ini perlu dilakukan dengan berhati-hati agar kadar adaptasi peralihan tenaga ini dapat ditingkat secara cekap dan dana ini digunakan secara efektif dengan kadar penggunaan meningkat seiring dengan jumlah dana yang digunakan,” jelasnya.

Beliau berkata, usaha peralihan tenaga memerlukan modal yang besar kerana ia melibatkan beberapa kelengkapan dan perkhidmatan berkaitan yang mempunyai kos tinggi.

Justeru, katanya, dana ini akan membantu untuk membiaya bagi penggiat industri ini untuk beralih kepada sumber tenaga boleh baharu (TBB).

“⁠Tak lain tak bukan, pengurangan pengeluaran gas rumah hijau yang banyak menyebabkan kesan perubahan iklim seperti kenaikan suhu, kenaikan paras air laut, kadar hujan yang ekstrem, kemarau berpanjangan, ribut, banjir kilat dan sebagainya.

“Jika perkara dilaksanakan secara kolektif, risiko perubahan iklim akan dapat dikurangkan dan risiko berlakunya bencana alam dapat dikurangkan.

“Selain itu, industri peralihan tenaga ini juga mewujudkan perniagaan kerana ia memerlukan sistem sokongan dengan mewujudkan ekosistem yang menyediakan perkhidmatan kepada pengeluar dan pelanggan,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya