Tikitaka sasar jualan RM80,000 sebulan tahun depan - Utusan Malaysia

Tikitaka sasar jualan RM80,000 sebulan tahun depan

Asiah Kuzaiman menunjukkan pelbagai jenis bahan masakan dan makanan korea halal di Bukit Raja. – UTUSAN/Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Asiah Kuzaiman Enterprise pengeluar produk makanan Korea halal menyasarkan peningkatan jualan di antara RM50,000 hingga RM80,000 sebulan pada tahun depan terutamanya setelah menerima pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Ogos lalu.

Pengasasnya, Nur Asiah Kuzaiman, 34, berkata, produknya atas jenama Tikitaka kini mencapai jualan kira-kira RM20,000 hingga RM30,000 sebulan dengan kapasiti pengeluaran keseluruhan sebanyak satu tan sos sebulan.

Katanya, permintaan terhadap produknya meningkat apabila diiktiraf halal terutama oleh pelanggan yang terdiri daripada restoran yang mempunyai pensijilan halal.

“Justeru, langkah kami yang seterusnya adalah untuk memperkukuhkan serta memperluaskan lagi pemasaran produk ini terutamanya setelah memiliki sijil halal yang dapat membuka lebih banyak peluang termasuk memasuki pasar raya serta kepada pelanggan perniagaan kami yang memerlukan produk halal.

“Pensijilan halal juga membolehkan kami menyertai pameran-pameran produk halal seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang kami mahu sertai pada tahun depan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di premisnya di Persiaran Bukit Raja, Bandar Baru Klang di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Nur Asiah yang mengusahakan perniagaan tersebut bersama suami yang juga Pengasas Bersama, Aswad Latif, 38, memberitahu, produknya boleh didapati di platform e-dagang seperti Shopee dan Tik Tok Shop serta pasar raya ST Rosyam Mart.

Menurutnya, perniagaan yang bermula pada 2018 melibatkan dua produk sahaja iaitu pes guchujang dan kimchi, kini sudah mempunyai 110 unit simpanan stok (SKU) melibatkan 30 produk.

“Antara produk popular kami adalah pes guchujang dan sos kicap bawang putih madu yang menjadi pilihan dan banyak dibeli oleh pelanggan.

“Sesetengah orang beranggapan bahawa makanan Korea ini semua pedas sahaja tetapi ada juga yang tidak pedas seperti sos kicap bawang putih madu yang digemari oleh pelbagai golongan,” ujarnya.

Tambahnya, sebanyak 80 peratus daripada jualannya ketika ini adalah daripada perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan selebihnya adalah perniagaan kepada pelanggan (B2C).

Jelasnya, terdapat kira-kira 30 pelanggan B2B yang mengambil sos Korea daripada mereka yang terdiri daripada restoran makanan Korea serta peniaga kecil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya