RAMAI golongan muda berdepan kesukaran untuk memiliki kediaman sendiri dengan peningkatan harga rumah dan kos sara hidup semasa yang membebankan.
Menyedari cabaran ini, Skim Step Up Financing diperkenalkan oleh kerajaan sebagai inisiatif baharu yang dirangka khusus untuk memudahkan pembelian rumah pertama.
Dalam Belanjawan 2025, Menteri Kewangan dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan Skim Step Up Financing di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sebagai jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion, khusus untuk golongan muda yang ingin memiliki rumah pertama.
Skim itu menawarkan kemudahan bayaran balik pinjaman yang lebih rendah bagi tempoh lima tahun pertama.
Bagaimanapun, persoalannya adakah skim itu menjadi jawapan kepada golongan muda untuk memiliki rumah pertama, di samping mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi semasa dan kenaikan harga rumah ketika ini?
Menjawab persoalan itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, langkah kerajaan itu dilihat sebagai usaha signifikan dalam memastikan akses yang lebih mudah kepada pembiayaan perumahan serta mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi oleh golongan muda yang ingin memiliki rumah sendiri.
“Skim ini mampu mengurangkan jumlah pembayaran bulanan kepada bank, sekali gus memberi ruang kepada pemilik rumah menyesuaikan perbelanjaan lain seperti kelengkapan rumah, menyediakan jaring keselamatan kewangan, serta mengurangkan risiko kewangan pada tahun-tahun awal pemilikan rumah.
“Skim ini juga memberi fleksibiliti kepada pemilik rumah, di mana selepas tempoh lima tahun, mereka mempunyai pilihan untuk menjual rumah tanpa dikenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) atau menstruktur semula pembiayaan tanpa penalti daripada pihak bank.
“Selain itu, langkah ini memberikan jaminan kewangan kepada pemilik rumah yang mungkin mengalami perubahan dalam keadaan ekonomi peribadi mereka selepas tempoh tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas beliau, dalam Belanjawan 2025 turut menawarkan pengecualian cukai sebanyak RM7,000 untuk faedah pembayaran rumah pertama, satu lagi inisiatif penting yang bertujuan meningkatkan kuasa beli dalam kalangan pembeli muda.
“Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban kewangan tetapi juga mewujudkan lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk melabur dalam hartanah pada usia awal.
“Selain itu, skim ini dilihat sebagai pelengkap kepada pelbagai insentif lain yang diperkenalkan untuk merangsang sektor perumahan, termasuk pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama dan sokongan pembiayaan lain.
“Skim Step Up Financing bukan sahaja mempermudahkan akses pembiayaan, tetapi juga memberi peluang kepada golongan pembeli rumah pertama untuk membuat perancangan kewangan jangka panjang yang lebih stabil.
“Dengan sokongan ini, kerajaan dilihat berusaha ke arah membentuk ekonomi yang lebih inklusif dan menyeluruh, terutama dalam sektor perumahan yang menjadi keperluan asas bagi rakyat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri FD Iskandar berpendapat, pembiayaan itu akan terus membantu golongan belia yang tidak mempunyai penyata pendapatan bulanan tetap, seperti pekerja gig dan pempengaruh yang pendapatannya berubah-ubah.
“Dengan adanya skim SJKP ini, ia akan memudahkan golongan belia dan pembeli rumah pertama memiliki rumah. Selain itu, kerajaan juga menyediakan RM900 juta untuk membina rumah Program Residensi Rakyat (PRR) dan rumah transit.
“Ini amat penting kerana tidak semua orang mampu membeli rumah pada peringkat awal kerjaya, jadi mereka perlu menyewa dahulu. Dengan tambahan peruntukan ini, saya rasa pihak kerajaan boleh membina lebih banyak rumah mampu milik di masa hadapan.
“Pemaju swasta juga bersedia untuk menyerahkan tanah kepada kerajaan bagi membina rumah mampu milik. Ini adalah situasi menang-menang, kerajaan menyediakan pembiayaan, dan pemaju swasta menyediakan tanah.
“Kerjasama ini akan membantu memenuhi keperluan rumah mampu milik yang tinggi di kawasan yang mempunyai permintaan besar,” katanya. – UTUSAN