PETALING JAYA: Peneraju pasaran cat automotif, Sime Kansai Paints Sdn. Bhd. menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Institut Kemahiran MARA Kota Kinabalu dalam usaha untuk mentransformasikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.
Menurut Pengarah Urusannya, Tan Seng Yang, MoU ini bertujuan membangunkan tenaga kerja mahir di peringkat tinggi dengan menawarkan peluang kepada pelajar TVET untuk meningkatkan kemahiran dan memastikan mereka bersedia menghadapi pasaran kerja sebaik tamat pengajian.
Katanya, MoU ini bukan sekadar satu kerjasama tetapi merupakan inisiatif antara kedua-dua pihak untuk meningkatkan dan menetapkan standard baharu bagi pendidikan TVET.
“Ini juga menanda aras kepada usaha kami untuk membina tenaga kerja yang berkemahiran tinggi untuk industri pengecatan semula automotif (Auto Refinish).
“Dengan menerapkan amalan pasaran sebenar ke dalam program latihan kami, kami mengukuhkan kerelevanan kursus TVET, dan memperkasakan pelajar untuk menghadapi cabaran masa depan dengan yakin.
“Di bawah MoU ini, Sime Kansai Paints akan berperanan sebagai penasihat aktif bagi Institut Kemahiran Mara Kota Kinabalu dalam memberikan imej industri yang jelas kepada pelajar TVET,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, Seng Yang berkata, syarikat akan menyediakan peluang pekerjaan merentasi rangkaiannya yang luas, termasuk kerjasama dengan beberapa syarikat automotif terkemuka di Malaysia.
“Di samping itu, syarikat tersebut juga akan membangunkan prosedur operasi standard (SOP) dan menyediakan pusat latihan dengan peralatan industri, untuk mengembangkan serta memperdalam pengetahuan teori dan pengalaman teknikal dalam kalangan pelajar.
“Ini termasuk program seperti pensijilan industri (Pengecat Bertauliah Industri), pemadanan warna, kursus pensijilan jurulatih, kursus teknikal latihan industri yang berkaitan, dan sebagainya,” ujarnya.
Jelasnya, kerjasama itu turut menawarkan pendidikan yang bertepatan dengan keperluan industri, sesi praktikal ini juga membolehkan pelajar mengikuti trend terkini dan proses kerja dalam industri.
“Jalinan ini juga bakal meningkatkan standard pendidikan dan latihan praktikal di Institut Kemahiran MARA (IKM) di seluruh negara, selaras dengan Dasar TVET Negara 2030 selaras dengan sektor automotif tempatan telah menunjukkan pertumbuhan kukuh sepanjang tahun ini.
“Buktinya, Persatuan Automobil Malaysia (MAA) telah menaikkan unjuran jualan kereta bagi 2024 sebanyak 3.38 peratus, susulan jualan memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini.
“Walau bagaimanapun, perkembangan ini mungkin akan terjejas sekiranya keperluan industri terhadap pekerja mahir tidak dipenuhi. Institut Automotif, Robotik, dan IoT Malaysia (MARii) telah menyatakan bahawa terdapat jurang yang ketara dalam jumlah pekerja mahir dalam bidang ini dan hal ini akan membantut perkembangan industri jika pelajar TVET tidak diberi latihan yang sewajarnya,” jelasnya. – UTUSAN