Jualan kuih tradisional meningkat selepas disahkan halal - Utusan Malaysia

Jualan kuih tradisional meningkat selepas disahkan halal

rosni Salleh menunjukkan produk sejuk beku keluarannya yang semakin mendapat tempat di hati pelanggan selepas disahkan halal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perniagaan kuih tradisional sejuk beku, Tuah Rosni Salleh Enterprise mengalami peningkatan jualan sehingga mencecah RM6,000 sebulan selepas memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 1 Disember 2023.

Rosni Salleh, 46, yang menjalankan perniagaan selama lima tahun di Kampung Gemencheh Ulu Air Mawang, Johol, Negeri Sembilan itu berkata, sebelum memperoleh pensijilan halal, pendapatan bulanannya hanya RM2,000 hingga RM2,500.

“Sebelum ini, saya ingin memasarkan produk di kedai-kedai runcit agak susah kerana tiada sijil halal.

“Kini, produk saya lebih mudah untuk dipasarkan di kedai-kedai runcit dan peniaga lebih mempercayai produk saya untuk dijual,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut Rosni, produk kuih tradisional sejuk beku yang dijual termasuk karipap kentang (RM6), karipap daging (RM7), karipap ayam (RM7), karipap sardin (RM6), karipap telur (RM6), karipap daging lada hitam (RM7), pulut panggang (RM6), kasturi (RM7) dan ubi getuk (RM6).

“Produk saya dengan jenama ‘Ani Rosni’, kini boleh didapati di beberapa kedai runcit di sekitar Negeri Sembilan antaranya, Koop Mart Batu kikir, AA Frozen Batu Kikir, Agrobazaar Jelai, B.Taha Gemencheh, Alias Pekasam Port.Dickson serta Selandar Hall Mart.

“Selain itu, saya juga mempunyai ejen dan antara usahawan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan. Saya sudah memasuki dua Pasar tani iaitu Pasar tani Tampin dan Pasar tani Gemencheh,” katanya.

Tambah Rosni, dia memohon pensijilan halal kerana berharap produknya boleh pergi lebih jauh termasuk menembusi pasar raya besar dan berpeluang ke pasaran luar negara.

“Di samping itu, memberi kepercayaan dan keyakinan kepada pelanggan bahawa produk kami bersih,” katanya.

Selepas memperoleh sijil halal, Rosni rasa lebih yakin untuk memperkenalkan produk di mata pelanggan dan produk lebih mudah dijual.

“Harapan saya setelah ada sijil halal ini, perniagaan lebih berkembang maju dan mendapat memasarkan produk di pasaran yang lebih luas.

“Bagi peniaga yang belum memohon sijil halal marilah sama-sama kita meningkatkan perniagaan kita agar ekonomi orang Melayu lebih kukuh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya