PETALING JAYA: Kadar inflasi pada bulan-bulan akan datang dijangka kekal terurus, berkemungkinan meningkat kepada 2.0 peratus tahun ke tahun pada 2024, namun diunjurkan berada sekitar 3.0 hingga 3.5 peratus pada 2025, kata TA Securities Holdings Bhd.
Firma penyelidikan berkata, ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa rasionalisasi subsidi hanya akan berkuat kuasa pada pertengahan 2025, dengan butiran lanjut akan diberikan pada peringkat kemudian.
Bagaimanapun, firma berkata, tinjauan inflasi bagi Malaysia dijangka meningkat mulai tahun depan, didorong oleh kenaikan gaji kakitangan awam dan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700.
“Dari segi sejarah, perubahan dalam gaji minimum telah memberi impak yang ketara terhadap trend inflasi di Malaysia dan kenaikan yang akan datang ini berkemungkinan mengikuti corak yang sama.
“Ini terutamanya kerana gaji minimum yang lebih tinggi membawa kepada peningkatan pendapatan boleh guna bagi mereka yang berpendapatan rendah, yang meningkatkan permintaan pengguna,” katanya dalam nota penyelidikan.
TA Securities berkata, memandangkan pekerja mempunyai lebih kuasa berbelanja, mereka berkemungkinan berbelanja lebih untuk barangan dan perkhidmatan, mewujudkan permintaan yang lebih besar dalam ekonomi.
Jelasnya, permintaan yang meningkat ini boleh mengakibatkan inflasi tarikan permintaan, di mana permintaan pengguna yang meningkat mengatasi bekalan barangan dan perkhidmatan, mendorong harga lebih tinggi.
“Meneliti data sejarah, ia menjadi jelas bahawa inflasi lazimnya meningkat seiring dengan kenaikan gaji.
“Sebagai contoh, kadar inflasi meningkat berikutan semakan gaji minimum pada 2013, 2019, 2020 dan 2022. Walau bagaimanapun, pengecualian adalah pada 2016, di mana inflasi kekal rendah walaupun kenaikan gaji minimum.
“Anomali (ketidakwajaran) ini boleh dikaitkan dengan harga minyak mentah global yang jauh lebih rendah dalam tempoh itu, yang membantu mengimbangi tekanan inflasi,” ujarnya.
Selain, pelarasan gaji, tekanan inflasi tahun depan mungkin diburukkan lagi oleh faktor lain seperti potensi harga tenaga global pulih dan pemansuhan subsidi bahan api.
“Menurut Kementerian Kewangan (MOF), inflasi utama Malaysia mungkin meningkat pada 2025 ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun, didorong oleh potensi tekanan harga daripada rasionalisasi subsidi dan kejutan luaran.
“Indeks Harga Pengguna (IHP) diunjurkan meningkat antara 2.0 peratus dan 3.5 peratus pada 2025. Risiko inflasi sebahagian besarnya akan bergantung pada tahap kesan ke atas daripada pelaksanaan langkah dasar ke atas subsidi dan kawalan harga, serta turun naik dalam harga komoditi global.
“Pada ketika ini, kami menjangkakan kadar inflasi sekitar 3.0 hingga 3.5 peratus untuk tahun akan datang,” ujarnya. – UTUSAN