USAHA kerajaan memperkenalkan Skim Step Up Financing di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang disokong dengan jaminan sehingga RM5 bilion telah mencetuskan respon positif dalam kalangan belia.
Inisiatif itu dianggap sebagai usaha penting dalam membantu anak muda memiliki kediaman pertama, terutama di kala menghadapi kos sara hidup yang meningkat serta kenaikan harga rumah yang berterusan.
Dengan bayaran balik pinjaman yang lebih rendah untuk lima tahun pertama, skim ini membuka peluang lebih luas kepada belia untuk memiliki rumah, di samping mendorong perancangan kewangan yang lebih kukuh dan stabil di masa depan.
Penyanyi sambilan, Muhammad Izzuddin @ Izzue Lee berkata, Skim Step Up Financing membuatkannya rasa optimis terhadap keupayaan memiliki rumah kerana ia menyediakan fleksibiliti pembayaran pada lima tahun pertama.
“Tidak seperti Skim Rumah Pertamaku yang diperkenalkan beberapa tahun lalu, skim ini menawarkan fleksibiliti pembayaran lebih baik pada lima tahun pertama, yang membolehkan golongan muda menyesuaikan kewangan mereka dalam tempoh awal pemilikan rumah.
“Dalam masa yang sama, ia memberi peluang kepada golongan muda yang tiada pendapatan tetap seperti pempengaruh media sosial atau di industri gig untuk mempunyai aset sebagai pelaburan jangka masa panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, dengan kadar faedah yang lebih rendah pada tahun-tahun awal, beban kewangan dapat diringankan.
“Skim ini bukan sahaja mampu menarik lebih ramai golongan muda untuk mempertimbangkan pemilikan rumah, malah turut merangsang pasaran hartanah tempatan.
“Penglibatan belia dalam pelaburan hartanah dapat membantu menjana dan mengukuhkan ekonomi negara melalui permintaan yang lebih stabil dalam pasaran perumahan,” katanya.
Pandangan positif ini turut dikongsi oleh pelajar tahun akhir Sarjana Muda di sebuah universiti awam, Muhammad Zulhairi yang menyokong Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) kerana inisiatif tersebut mampu membantu belia merealisasikan impian memiliki rumah sendiri.
“Skim ini merupakan sokongan penting untuk perancangan masa depan belia, selain membantu mereka membina aset serta mencapai kestabilan kewangan pada masa hadapan.
“Dengan memiliki rumah sendiri juga belia tidak perlu bimbang tentang kenaikan harga rumah, sekali gus dapat mengelakkan tekanan hidup yang berpotensi membawa kepada masalah kesihatan mental,” katanya.
Pada masa sama, Muhammad Zulhairi berkata, pemilikan rumah juga memberi peluang kepada belia untuk lebih berdikari tanpa perlu bergantung kepada ibu bapa dari segi tempat tinggal.
Sementara itu, pekerja sambilan, Hidayah Khairul Muzil berkata, Skim Step Up Financing memberikan peluang kepada golongan muda sepertinya untuk memulakan perjalanan pemilikan rumah dengan lebih mudah.
“Selain daripada bayaran balik yang lebih rendah pada lima tahun pertama, ia juga membantu kami menguruskan kewangan dengan lebih teratur.
“Inisiatif ini dapat memberi manfaat besar kepada kami, terutama dalam pembiayaan perumahan dan merancang masa depan kewangan,” katanya. – UTUSAN