Unjuran KDNK 2024 disemak naik kepada 5.2 peratus - Utusan Malaysia

Unjuran KDNK 2024 disemak naik kepada 5.2 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Research menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi setahun penuh 2024 kepada 5.2 peratus daripada 4.9 peratus, berikutan prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang kukuh pada separuh pertama 2024.

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan unjuran tersebut juga kerana pertumbuhan separuh kedua yang dijangka terus kukuh.

“Kami menjangka momentum pertumbuhan kekal kukuh pada lebih daripada 5.0 peratus pada separuh kedua 2024 berbanding 5.1 peratus pada separuh pertama, melebihi sasaran rasmi empat sehingga lima peratus.

“Pemacu utama pertumbuhan termasuk pemulihan eksport dan pelancongan, pelaburan yang diluluskan yang kukuh sebanyak 17.2 peratus tahun ke tahun bagi suku pertama.

“Selain itu, ini dilihat dari peningkatan pendapatan boleh guna melalui pengeluaran Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (RM8.9 bilion sehingga 25 Julai) dan kenaikan gaji penjawat awam sebanyak 7.0 peratus sehingga 15 peratus yang akan dilaksanakan dalam dua fasa pada Disember 2024 dan Januari 2026,” katanya.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, terdapat juga beberapa risiko yang boleh memberi kesan kepada unjuran pertumbuhan itu.

“Risiko seperti gangguan pengeluaran komoditi akibat penyelenggaraan dirancang atau cuaca buruk seperti La Nina dan kesan El Nino terhadap pengeluaran minyak sawit, serta ketegangan geopolitik dan perdagangan yang semakin memuncak boleh menjejaskan unjuran pertumbuhan,” katanya.

Sementara itu, menjelaskan mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi tahun ini, katanya, OPR dijangka kekal pada 3.00 peratus sehingga akhir 2024.

“Ini disebabkan risiko terhadap pertumbuhan dan prospek inflasi Malaysia pada 2025 kekal rendah kerana Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil pendekatan bergantung kepada data, menunggu kejelasan mengenai masa dan kuantum pelarasan harga petrol RON95 serta langkah-langkah pemindahan.

“Selepas diapungkan, harga diesel runcit menurun daripada RM3.35/liter kepada RM3.25/liter berikutan pengukuhan ringgit dan penurunan harga minyak.

“Pergerakan positif kadar pertukaran dan harga minyak boleh mengurangkan jumlah pelarasan harga RON95 yang diperlukan untuk merasionalisasi perbelanjaan kerajaan.

“Ini dengan penjimatan RM1 bilion bagi setiap penurunan 10 sen dalam kadar pertukaran mata wang ringgit Malaysia berbanding dolar AS dan RM0.4 bilion sehingga RM0.5 bilion bagi setiap penurunan AS$1/setong (RM4.428/setong) dalam harga minyak Brent,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi KDNK suku kedua baru-baru ini, firma itu berkata, pertumbuhan ekonomi suku kedua 2024 telah disemak naik daripada 5.8 peratus kepada 5.9 peratus, didorong oleh eksport bersih dan perbelanjaan swasta.

“Semakan semula pertumbuhan KDNK bagi suku kedua kepada 5.9 peratus tahun ke tahun daripada anggaran awal 5.8 peratus adalah sedikit rendah daripada jangkaan kami sebanyak 6.0 peratus tahun ke tahun.
“Kesan asas rendah sebahagiannya menyumbang kepada bacaan yang lebih tinggi daripada 4.2 peratus tahun ke tahun dalam suku pertama.

“Peningkatan KDNK suku tahunan yang disesuaikan secara bermusim (qoq sa) sebanyak 2.9 peratus (1Q24: 1.5 peratus qoq sa) lebih kuat daripada purata pra-pandemik sebanyak 1.6 peratus.

“Ia untuk suku yang sama dalam tempoh 2015 sehingga 2019 yang menunjukkan pengembangan kukuh dalam aktiviti ekonomi yang dipimpin oleh sektor pembinaan (8.7 peratus qoq sa), perkhidmatan (3.3 peratus qoq sa), pembuatan (3.1 peratus qoq sa) dan pertanian (1.6 peratus qoq sa).

“Bagaimanapun, pengeluaran perlombongan merosot sebanyak 4.0 peratus qoq sa akibat gangguan sementara di kompleks LNG Bintulu pada Mei,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN