PETALING JAYA: Muruku Hannars, produk snek tradisional milik syarikat bumiputera iaitu SRA Global Resources meningkatkan keyakinan pelanggan dengan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2022.
Pemiliknya, Siti Rahayu Ahmad berkata, pensijilan yang diterima memudahkan produk muruku miliknya untuk diperluas di pasaran tempatan dan juga ke peringkat antarabangsa.
“Produk yang memiliki sijil halal pastinya akan mendapat keyakinan daripada pelanggan kerana untuk memperoleh halal, premis serta bahan yang diproses haruslah bersih dan selamat.
“Sebagai peniaga Industri Kecil Sederhana (IKS) pula, sijil ini memberikan saya peluang untuk meneroka pasaran antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Siti Rahayu yang memulakan perniagaan sejak 2018 di Kota Bharu, Kelantan mula mengusahakan muruku itu daripada satu perisa sahaja dan kini berjaya menghasilkan sehingga 10 perisa muruku.
Jelasnya, buat masa ini, muruku yang mendapat permintaan paling tinggi daripada pelanggan ialah paprika, keju, pedas Korea, rumpai laut dan perisa telur masin.
“Bermula dengan harga RM6 untuk 60 gram dan RM12 untuk 200 gram, produk ini mendapat permintaan yang tinggi terutamanya ketika musim perayaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Siti Rahayu berkata, dia sudah mempunyai niat untuk mendapatkan sijil halal sejak awal perniagaannya.
“Mula-mula berniaga dahulu sememangnya saya sudah nekad untuk mengambil dan memohon sijil halal.
“Sewaktu memulakan perniagaan, saya lebih cenderung untuk membeli bahan-bahan yang sudah memiliki sijil halal untuk membuat muruku.
“Saya mengajak semua peniaga terutamanya IKS untuk memohon mendapatkan sijil halal dan mempedulikan kepada kata-kata orang di luar sana. Kita haruslah merujuk kepada organisasi yang terbabit dalam mendapatkan halal untuk memudahkan urusan,” katanya.
Jelasnya lagi, apabila peniaga IKS mendapat pensijilan halal, banyak perkara yang menjadi mudah terutamanya untuk berurusan dengan badan-badan kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan banyak lagi yang dapat membantu meluaskan dan memasarkan produk di peringkat lebih tinggi. – UTUSAN