BERMULA hanya sebagai tugasan untuk melengkapkan pengajiannya di universiti pada 2019, usahawan muda, Naqib Haziq Ramlan, 24, memulakan perniagaan sagu gula melaka dengan hanya bermodalkan RM100 dan kini perniagaanya mampu mencapai keuntungan sehingga ribuan ringgit sebulan.
Pengasas SagoHearty, Naqib Haziq mendapat ilham untuk menjalankan perniagaan ini selepas merasakan produk manisan warisan Malaysia itu semakin lama semakin sukar untuk mendapatkannya.
“Bermula dari situ, saya mengambil keputusan untuk menjadikan produk itu untuk melengkapkan pengajian saya kerana syarat utama untuk lulus subjek itu haruslah mempunyai satu produk yang diasaskan sendiri.
“Saya bangkitkan semula sagu gula melaka ini dan menghasilkan beberapa inovasi baharu kepada manisan ini seperti melakukan pembungkusan yang lebih menarik dan mempelbagaikan perisanya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.
Graduan Diploma Keusahawanan, Management and Science University (MSU) pada 2021 itu menjelaskan, kini, beliau telah menjual lebih tiga produk berasaskan sagu gula melaka dengan memvariasikan perasa manisan itu.
“Antaranya sagu gula di dalam bekas yang memiliki lima perisa iaitu original, coklat, mangga, laici dan pandan yang berharga sekitar RM3 hingga RM4.
“Selain itu, saya juga menjual dalam bentuk botol dengan topping yang menarik iaitu perisa original dan yogurt, pada RM 12/350 mililiter (ml).
“Terbaharu, kami telah berkolaborasi bersama Dapur Mija untuk produk aiskrim sago gula melaka keju berperisa keladi, red velvet dan coklat yang pertama di Malaysia,” ujarnya.
Naqib berkata, selepas pandemik Covid-19 melanda negara beberapa tahun lalu, SagoHearty terpaksa mengubah corak jualannya daripada menghantar ke kedai-kedai di sekitar universiti kepada memasarkannya secara dalam talian.
“Pelanggan boleh mendapatkan sagu gula melaka ini dengan menempah melalui platform media sosial Sagohearty dan selepas itu akan dihantar kepada pelanggan.
“Kami terpaksa melakukan cara begini kerana manisan itu perlu dimakan dalam keadaan segar dan mudah rosak,” katanya.
Setakat ini, jelas Naqib, produk itu hanya mampu untuk bertahan selama lima hari dan dalam proses untuk meningkatkan ketahanan jangka hayat produk itu agar tidak mudah rosak.
“Pada tahun ini, saya menyasarkan untuk mengembangkan inovasi dalam meningkatkan ketahanan jangka hayat produk supaya dapat untuk memasuki pasaran pasar raya besar,” katanya.
Menurut Naqib Haziq, dia juga ingin melakukan inovasi itu untuk memastikan pasaran sagu gula melaka dapat diperluaskan dengan khidmat pos.
“Sekarang saya hanya menjual produk di sekitar Selangor sahaja tetapi saya yakin produk ini juga mampu meluaskan pasaran di negeri-negeri lain.
“Untuk penuhi pasaran ini, saya perlu pastikan ketahanan produk dapat dipertingkatkan agar boleh dihantar melalui pos,” katanya.
Bercakap mengenai impian, anak ketiga daripada empat adik beradik itu memasang impian untuk memiliki kafe sendiri dalam tiga hingga lima tahun akan datang yang menfokuskan kepada penjualan makanan tradisional Malaysia. – UTUSAN