Rendang dendeng Nissmillan sasar tembusi pasar raya - Utusan Malaysia

Rendang dendeng Nissmillan sasar tembusi pasar raya

rendang dendeng Nissmillan mula mendapat sambutan menggalakkan selepas diiktiraf halal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat makanan sedia dimakan (MRE), Efrich Resources Enterprise mendapatkan pensijilan halal agar produk rendang dendeng menembusi pasaran pasar raya seluruh negara.

Bagi Pengurus rendang dendeng Nissmillan, Intan Hafizah Jantan berkata, produk yang dihasilkan di Felda Pasoh 1,Jelebu, Negeri Sembilan itu telah dijual sejak 2021 dan menerima pensijilan halal pada 2023.

“Saya mengambil pensijilan halal kerana ingin meluaskan lagi pasaran rendang daging dendeng ini. Selain itu, dengan adanya sijil halal keyakinan yang tinggi dan membuktikan proses keseluruhan pembuatan produk makanan kami adalah bersih dan suci.

“Sasaran saya pada masa akan datang, untuk memasuki pasar raya supaya produk ini lebih dikenali umum,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelas Intan Hafizah, selepas memperoleh halal, dendeng yang dijual dengan harga RM20 untuk 200 gram itu menerima purata penjualan sebanyak 250 peket sebulan.

“Kebanyakan jualan adalah secara platform dalam talian dan offline. Kami juga ada menghantar ke kedai sekitar Negeri Sembilan dan membuka peluang untuk menjadi ejen,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima bantuan daripada beberapa agensi seperti Jabatan Veterinar dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Syarikat kami juga dapat menghasilkan jualan purata lebih 300 paket sebulan. Pada tahun depan, kami menyasarkan pengeluaran sehingga 600 peket sebulan,” katanya.

Selain itu, produk dendeng keluarannya mendapat sambutan positif dalam kalangan suri rumah yang bekerjaya, kerana rendang dendeng ini boleh terus dimakan.

“Ada juga pelanggan terdiri daripada peminat aktiviti kembara hutan (hiking) kerana mudah untuk dibawa kemana-mana sahaja. Pelanggan juga membeli secara pukal atau secara kilogram, terutamanya semasa musim perayaan atau kenduri,” katanya.

Intan Hafizah turut menasihatkan usahawan lain memohon pensijilan halal kerana ia memberi impak yang sangat besar sekali gus membuka mata agensi kerajaan untuk mendapatkan bantuan atau geran perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya