PETALING JAYA: Syarikat teknologi berfokus kepada inovasi dalam sektor pertanian, Qarbotech Sdn. Bhd. komited dalam mengukuhkan kedudukannya dengan memperluas pasaran ke negara-negara baharu, khususnya di rantau Asia Tenggara.
Pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Operasi Qarbotech, Amirul Merican berkata, Qarbotech bercadang untuk mengembangkan pasaran di luar Malaysia dengan membina kerjasama strategik dengan rakan niaga di Asia Tenggara.
“Sepanjang tahun 2024, Qarbotech telah berjaya memperluaskan pasaran produk kami ke beberapa negara seperti Indonesia dan China.
“Kami merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap produk kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Amirul, setakat ini, syarikat berada dalam landasan yang tepat dalam mencapai sasaran pengembaran syarikat.
“Selain itu, kami berjaya meningkatkan produksi dari skala makmal ke skala kilang di Puchong,” katanya.
Dalam pada itu, Amirul berkata, Qarbotech juga telah memenangi beberapa anugerah sepanjang penubuhan syarikat yang bermula pada 2018.
“Kami telah memenangi anugerah Future Food Asia Awards di Singapura dan berjaya meraih tempat kedua di AIM Congress, Abu Dhabi baru-baru ini. Pengiktirafan ini membuktikan keunggulan teknologi kami di peringkat antarabangsa.
“Kami menggunakan teknologi nanoteknologi untuk menghasilkan produk seperti QarboGrow yang berfungsi meningkatkan proses fotosintesis tumbuhan, seterusnya meningkatkan hasil pertanian secara mesra alam dan mampan,” kongsinya lagi.
Dalam perkembangan lain, Qarbotech kini telah merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran melalui automasi dalam proses pembuatan.
“kami dalam perancangan untuk mengembangkan rangkaian produk baharu bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Dari segi inovasi produk, kami merancang untuk memperkenalkan variasi baru QarboGrow yang sesuai dengan pelbagai jenis tanaman.
“Sementara itu, kami sedang meneroka potensi penggunaan teknologi kami dalam bidang lain seperti pemuliharaan alam sekitar dan pengurangan karbon,” ujarnya. – UTUSAN