MUKADIMAH
Kehadiran jenama elektronik yang semakin mencipta nama di Malaysia, PRISM+ telah mula merancakkan pasaran jenama elektronik pintar di negara ini dengan pelbagai rangkaian barangan. Hasil daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) PRISM+ yang rapi, syarikat dari Singapura itu berjaya menghasilkan inovasi terhadap peralatan elektronik yang menyediakan peralatan berteknologi premium dengan harga mampu milik kepada pengguna.
Wartawan Utusan Malaysia, AMIRUL AIMAN OSMAN berpeluang menemu bual Pengarah Negara PRISM+ Malaysia, ERIC KAM mengenai perluasan dan inovasi syarikatnya.
UTUSAN: Apakah Inspirasi di sebalik penubuhan PRISM+?
ERIC KAM: Ditubuhkan pada 2017 dengan misi untuk memberikan produk premium pada harga yang berpatutan, PRISM+ dengan cepat menjadi peneraju utama jenama produk kepada pelanggan di Singapura dan telah meluaskan pasaran di Malaysia, Australia dan Filipina.
Inspirasi di sebalik penubuhan PRISM+ bermula daripada keinginan untuk menghasilkan teknologi premium yang boleh diakses oleh semua. Kami melihat jurang dalam pasaran bagi produk berkualiti tinggi, monitor permainan dan televisyen mampu milik. PRISM+ bersemangat untuk membawa teknologi ini kepada penggunan dengan harga berpatutan. Komitmen ini dalam memastikan kualiti dan nilai yang ada, memacu kami dalam mengembangkan penawaran produk dan memasuki pasaran baharu.
Pada awal penubuhan dengan penjualan monitor di Singapura pada 2018, PRISM+ berjaya menjual 10, 000 monitor. Pada 2019, syarikat mula mengembangkan rangkaian produknya kepada TV pintar dan mendapat maklum balas positif dan sokongan daripada pengguna. Sejak itu, PRISM+ telah mempelbagaikan tawarannya termasuk pendingin hawa pintar, kipas siling pintar, penapis udara pintar dan peti sejuk.
Apakah faktor utama yang mempengaruhi keputusan anda untuk memasuki pasaran Malaysia.
PRISM+ bertuah kerana dapat berkembang dengan cepat seperti di Singapura. Daripada jenama yang kecil menjadi salah satu peneraju TV pintar dan monitor. Peningkatan ini bagaimanapun membawa cabaran daripada segi pertumbuhan. Pasaran Singapura yang kecil akan menghadkan pengembangan jadi penumpuan harus dilebihkan kepada pengantarabangsaan dan mengembangkan segmen produk.
Geografi Malaysia yang dekat dan budaya yang hampir sama dengan Singapura menjadikannya ideal untuk pilihan pertama dalam pengembangan. Kami yakin dengan persediaan yang baik dari segi kapasiti logistik dan infrastruktur, kami mampu menjadi seperti di Singapura.
Apakah cabaran dan peluang utama yang anda lihat dalam pasaran Malaysia?
Dari segi logistik, keluasan Malaysia yang besar dan perpecahan geografi yang unik antara Malaysia timur dan barat memberikan cabaran baharu kepada kami. Model perniagaan terus kepada pengguna bermakna ia akan mengambil masa untuk kami membina keupayaan dalaman dan infrastruktur di seluruh negara. Perkara ini diperlukan dalam pengembangan bagi memastikan PRISM+ mengekalkan standard kualiti dan perkhidmatan sepanjang proses.
Selain itu, pasaran Malaysia berbeza daripada Singapura dalam beberapa perkara seperti cita rasa pengguna, gelagat pembeli dan dinamik pasaran. Hal ini telah menjadi satu perjalanan pembelajaran yang memerlukan kami untuk melabur dalam penyelidikan pasaran, kerjasama tempatan, dan strategi pemasaran yang disesuaikan untuk memahami dengan lebih baik bagi memenuhi keperluan pengguna di Malaysia.
Boleh ceritakan berkenaan teknologi dan inovasi di sebalik produk anda?
PRISM+ memasuki pasaran sebagai pengganggu kepada jenama tradisional dan inovasi telah lama menjadi teras identiti kami. Model perniagaan langsung kepada pengguna, perkhidmatan pelanggan 24 jam, dan peneraju pasaran waranti hanyalah beberapa cara yang kami telah berinovasi melangkaui aspek produk yang kami tawarkan.
Sudah tentu, PRISM+ juga berbangga kerana mempunyai pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mempunyai kepakaran dalam penghasilan produk dan pengetahuan bentuk produk dari awal. Produk PRISM+ juga sering menjalani penyelidikan pasaran yang intensif, pelbagai ujian, dan semakan reka bentuk sebelum memasuki pasaran.
Pendekatan yang dilakukan terhadap inovasi produk sebahagian besarnya selaras dengan moto kami dalam menghasilkan teknologi premium yang boleh diakses oleh ramai orang. Sebagai contoh, pelancaran QLED TV terbaru kami, Q86 Ultra dengan refresh rate panel 120Hz dan HDMI 2.1, hanya dilakukan apabila konsol generasi telah tersedia secara meluas kepada pengguna. Ini memastikan mereka tidak membayar untuk ciri tersebut sebelum tiba masanya ia benar-benar berguna bagi mereka.
Aplikasi rumah pintar PRISM+ Connect juga satu contoh kepakaran dalaman. Pembangunan aplikasi ini dari awal untuk memastikan lebih banyak kawalan dan keupayaan untuk diteruskan menambah ciri dalam masa terdekat.
Adakah terdapat sebarang rancangan untuk memperkenalkan ciri atau teknologi baharu dalam produk?
Hasil daripada R&D sendiri, kami telah melancarkan penyaman udara pintar PRISM+ Luna dan pembersih udara pintar aura yang pertama di pasaran Malaysia. Direka untuk iklim panas Malaysia, pendingin hawa mampu milik ini menggabungkan teknologi penyejukan canggih dan mampu milik di pasaran.
Kami mempunyai lebih banyak peralatan rumah yang penuh dengan ciri-ciri masa depan dalam usaha mengembangkan segmen produk ini dan merancang untuk terus memperkenalkan teknologi sinematik canggih melalui Google TV.
Bagaimanakah anda melihat PRISM+ menyumbang kepada ekonomi tempatan di Malaysia?
PRISM+ menyumbang dengan ketara kepada ekonomi tempatan di Malaysia melalui pelbagai inisiatif yang memberi impak. Kami telah membuka sekitar tujuh cawangan, yang merupakan pelaburan yang besar untuk jenama baharu dan juga mempunyai ibu pejabat dengan sekitar 50 pekerja tempatan. Dengan mengambil pekerja tempatan, kami telah membuka peluang pekerjaan dan pertumbuhan profesional dalam komuniti.
Pada tahun 2022, selepas beberapa pemeriksaan yang ketat, kami mula mengalihkan sebahagian daripada produk kami dipasangkan di Malaysia. Pemasangan ini akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan tempatan melalui rakan kongsi sambil memastikan kualiti produk kami masih mengekalkan standard kualiti tertinggi.
Selain itu, kami turut menyumbang kepada ekonomi tempatan dengan bekerjasama dengan pembekal dan penyedia perkhidmatan tempatan yang dilihat mampu untuk menyuntik kepada peningkatan ekonomi tempatan.
Adakah terdapat sebarang rancangan untuk pembuatan tempatan?
Walaupun tidak mempunyai rancangan segera bagi pembuatan tempatan di Malaysia tetapi kami tidak menolak kemungkinan ada berlaku di masa hadapan. Pada masa ini, kami bergantung kepada pasukan R&D di Singapura untuk konsep serta reka bentuk dan China bagi kemudahan pengeluaran dan kepakaran. Kecekapan hasil mereka membolehkan kami untuk menawarkan produk dengan harga yang kompetitif kepada pelanggan di Malaysia dan pasaran lain juga.
Selain kedai fizikal baharu, adakah terdapat rancangan pengembangan lain, seperti perkongsian atau saluran jualan atas talian?
Selain membuka kedai fizikal baharu, kami juga telah memiliki beberapa rancangan pengembangan lain. Buat masa ini, kami sedang membina jenama di TikTok Shop yang terbukti telah membawa hasil jualan yang besar.
Tumpuan kami di aplikasi itu adalah kerana konsep ‘shoppertainment’. Pendekatan itu memberikan pengalaman baharu dalam membeli-belah yang menggabungkan keseronokan interaksi langsung dalam kemudahan itu. Dengan menggunakan strategik ini, kami meletakkan khalayak sasaran yang lebih dinamik dan interaktif, meletakkan PRISM+ di barisan hadapan peruncitan moden ini.
Melalui platform itu, kami juga mendidik pengguna Malaysia tentang kebaikan e-dagang dan meyakinkan mereka bahawa ia selamat dan boleh dipercayai serta membuatkan mereka lebih selesa untuk membeli-belah secara atas talian.
Sementara itu, kami sedang meneroka peluang untuk meluaskan jangkauan di Malaysia Timur. Perkara ini bertujuan untuk memberikan perkhidmatan asas kepada pelanggan dengan lebih luas. Kami sentiasa mencari rakan kongsi yang berpotensi untuk membantu kami di kawasan berkenaan. Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami untuk mengembangkan pasaran dan menjadikan produk lebih mudah untuk didapati di Malaysia. – UTUSAN