PMB Tijari sasar pembiayaan RM50 juta kepada PKS Bumiputera - Utusan Malaysia

PMB Tijari sasar pembiayaan RM50 juta kepada PKS Bumiputera

NORLEZA ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: PMB Tijari Berhad (PMB Tijari), anak syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad menyasarkan jumlah pembiayaan patuh Syariah yang ditawarkan lebih daripada RM50 juta kepada Usahawan Bumiputera Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang layak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan pada tahun ini.

Setakat 31 Julai lalu, PMB Tijari telah mengeluarkan jumlah pembiayaan sebanyak RM21.2 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norleza Abu Bakar berkata, secara dasarnya, jumlah pembiayaan yang ditawarkan menunjukkan trend peningkatan setiap tahun terutamanya sejak tiga tahun kebelakangan ini.

“Kami turut menjangkakan penawaran jumlah pembiayaan ini akan terus menunjukkan prestasi peningkatan sejajar dengan pertumbuhan ekonomi, pelaksanaan inisiatif dan projek baharu daripada kerajaan yang secara langsung akan meningkatkan permintaan kepada perkhidmatan pembiayaan kontrak.

“Oleh itu, jumlah sasaran minimum RM50 juta boleh dicapai berdasarkan kepada peningkatan bilangan permohonan pembiayaan yang semakin meningkat dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

PMB Tijari merupakan sebuah syarikat penyedia kemudahan pembiayaan patuh Syariah yang menawarkan perkhidmatan khususnya kepada syarikat-syarikat usahawan bumiputera yang memerlukan kemudahan pembiayaan bagi melaksanakan kontrak kerja dan pesanan pembelian daripada penyedia kontrak di peringkat Kementerian-Kementerian Kerajaan, agensi kerajaan, syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), syarikat Multinasional (MNC) dan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia (PLC) yang mempunyai prestasi kewangan yang kukuh.

Menurut beliau, PMB Tijari sentiasa komited untuk memastikan proses kelulusan dan pengeluaran pembiayaan dapat dibuat dengan berkesan dalam masa yang ditetapkan.

Norleza menjelaskan, pihak PMB Tijari tidak memfokuskan mana-mana sektor tertentu namun, lebih memberi tumpuan kepada syarikat Usahawan Bumiputera yang berpotensi namun, sukar mendapatkan pembiayaan daripada bank dan institusi kewangan lain.

“Berdasarkan rekod pengeluaran pembiayaan setakat 31 Julai tahun ini, sektor utama yang mendapatkan pembiayaan termasuk kesihatan (22.08 peratus), teknologi (8.35 peratus), minyak, gas dan tenaga (17.23 peratus), telekomunikasi (9.90 peratus), pengangkutan (7.17 peratus), pembinaan dan hartanah (31.90 peratus).

“Selain itu, pembiayaan turut melibatkan sektor lain seperti perdagangan dan perkhidmatan (1.67 peratus) serta pentadbiran awam dan pertahanan (1.69 peratus),” katanya.

Sejak 2014, PMB Tijari telah mengeluarkan jumlah pembiayaan melebihi RM330 juta yang memberi manfaat kepada lebih 80 syarikat Usahawan Bumiputera.

Dalam tempoh 2021 hingga 2023, PMB Tijari telah mengeluarkan jumlah pembiayaan sebanyak RM112 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya