Matrix Concepts yakin terus pacu prestasi kewangan - Utusan Malaysia

Matrix Concepts yakin terus pacu prestasi kewangan

chai Keng Wai melihat model projek baharu Matrix Concepts di Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemaju perumahan, Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) yakin untuk terus memacu prestasi kewangan yang kukuh dengan unjuran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM7 bilion melibatkan pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) pada 2025.

Anggaran jangka masa pembangunan tujuh hingga 10 tahun itu telah membuka jalan untuk projek pemangkin pertumbuhan utama yang seterusnya, pembangunan perbandaran seluas 1,383 ekar.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrix Concepts, Chai Keng Wai berkata, pembangunan MVV membuka peluang transformatif buat kumpulan selain dapat meningkatkan hasil pendapatan melebihi 30 peratus pada tahun-tahun akan datang yang mengukuhkan kedudukannya sebagai pemaju hartanah terkemuka di Negeri Sembilan.

Katanya, kejayaan ini, ditambah pula dengan kedudukan kewangan yang kukuh dan aliran pendapatan yang pelbagai telah mengukuhkan jenama serta kepimpinan pasaran mereka.

“Menjelang tahun kewangan 2025, kami yakin untuk terus memacu keputusan kewangan yang kukuh serta mencipta nilai jangka panjang buat para pemegang saham kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelas Keng Wai, kumpulan Matrix Concepts akan terus mempelbagaikan aliran pendapatan mereka melalui pembangunan unit perniagaan yang sedia ada.

“Ia melibatkan sumbangan pendapatan daripada Pusat Perubatan Mawar menunjukkan strategi kumpulan Matrix Concepts membuahkan hasil, dengan bahagian penjagaan kesihatan dijangka menyumbang kira-kira lima peratus kepada pendapatan kumpulan pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Keng Wai berkata, kumpulan akan mengenal pasti dan mendapatkan perolehan tanah berkualiti serta usaha sama bagi melengkapkan operasi sedia ada.

“Ini memastikan kepelbagaian dan perkembangan mampan yang berterusan buat syarikat ini, sementara kekal fokus untuk mengekalkan nilai jangka panjang kepada para pemegang saham,” katanya.

Prestasi teguh Matrix Concepts pada tahun kewangan 2024 (TK2024), ditambah dengan kadar pengambilan yang kukuh secara konsisten melebihi 80 peratus pada keseluruhan projek pembangunan kumpulan menggariskan daya tahan model perniagaan yang mengutamakan pelanggan.

Matrix Concepts terus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, dengan jualan hartanah baharu pada TK2024 mencatatkan pertumbuhan sihat 3.6 peratus kepada RM1.25 bilion berbanding RM1.20 bilion sebelumnya, terutama dipacu oleh jualan rumah kediaman dua tingkat, petak tanah perindustrian terpilih, selain disokong oleh penjualan projek di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor.

Pada 31 Mac 2024, jualan belum dibil Kumpulan Matrix Concepts berjumlah RM1.2 bilion, menandakan laluan yang jelas bagi pengiktirafan pendapatan dalam tempoh 15 hingga 18 bulan akan datang serta mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan yang mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya