Lexis Hibiscus 2, hotel resort mewah eksklusif - Utusan Malaysia

Lexis Hibiscus 2, hotel resort mewah eksklusif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KL Metro Group menawarkan projek hotel resort mewah bertaraf lima bintang di Lexis Hibiscus 2, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Lexis Hibiscus 2 yang dibina dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM1.6 bilion, menampilkan 1,710 unit termasuk 910 bilik atas laut dan 800 suite kolam bertingkat dalam dua blok bertingkat tinggi, yang secara keseluruhannya membentuk bunga kebangsaan Malaysia iaitu bunga raya.

Setiap unit kediaman hotel mewah ini menampilkan reka bentuk dalaman yang unggul, susun atur bilik yang terperinci dan kemasan bilik yang luar biasa.

Berbeza daripada unit studio Lexis Hibiscus, Lexis Hibiscus 2 menawarkan dua bilik tidur berasingan, memberikan lebih banyak privasi dan keselesaan, keluasan menyeluruh, termasuk kolam peribadi yang lebih besar, memastikan penginapan yang lebih luas dan selesa.

Pengarah Urusan, KL Metro Group, Datuk Low Tak Fatt berkata, Lexis Hibiscus 2 adalah bukti dedikasi mereka untuk terus mencipta pengalaman unik dan tidak dapat dilupakan untuk para tetamu.

“Kami komited untuk menjadi pendorong batasan kemewahan dan hospitaliti, dan projek ini adalah langkah penting ke arah mencapai visi tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terletak bersebelahan resort Lexis Hibiscus yang tersohor, pembangunan baharu ini meliputi kawasan seluas 80 ekar dan dijangka menjadi lanjutan yang lebih luas dan mewah, sekali gus mencatatkan sejarah dalam bidang hospitaliti dan seni reka bentuk.

Projek luar biasa ini dijangka mengatasi skala dan keindahan sebelum ini, dengan menawarkan kolam peribadi bagi memastikan ketenangan dan kemewahan tropika yang tiada tandingan.

Lexis Hibiscus 2 yang dijadualkan siap pada pertengahan 2029, adalah usaha sama strategik antara KL Metro Group dan Pemerbadanan Menteri Besar (agensi pelaburan Kerajaan Negeri Sembilan).

Dalam pada itu, Tak Fatt berkata, sejak pelancaran Fasa 1 sebanyak 288 unit pada Jun 2024, kira-kira 60 peratus unit telah dijual, dengan sebahagian besar pembeli dari luar negara, khususnya dari rantau Asia Pasifik.

“Antara pembeli terutamanya dari China, Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Wilayah Teluk (The Gulf Region).

“Kebanyakan pembeli terdiri daripada pelbagai golongan termasuk golongan muda, pasangan baru berkahwin, ekspatriat dan 60 peratus majoriti pembeli terdiri daripada kumpulan umur 30 hingga 50 tahun.

“Selain itu, pembeli membeli unit ini untuk tujuan pelaburan dan menawarkan pulangan sewaan tahunan yang menarik sebanyak enam peratus,” katanya.

Resort bertaraf lima bintang ini juga dijangka menarik 1.1 juta pelancong setiap tahun, dengan kira-kira separuh daripada mereka berasal dari luar negara.

Lebih 5,000 pekerjaan semasa peringkat pembangunan, pembinaan dan fasa operasi, membuahkan rangsangan ekonomi yang besar kepada masyarakat tempatan sekitar Port Dickson.

Resort ini menyediakan pelbagai kemudahan termasuk kolam air pancut, akuarium, pelbagai kolam renang, pusat kanak-kanak, bilik permainan, gim dan sauna.

Terdapat juga pelbagai pilihan makanan dari tempatan, barat dan Jepun, bar dan dek pemandangan dari atas, ruang istirahat eksekutif dan lain-lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN