Kenanga kekal ‘overweight’ sektor penjagaan kesihatan - Utusan Malaysia

Kenanga kekal ‘overweight’ sektor penjagaan kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenanga Investment Bank Berhad mengulangi penarafan ‘overweight’ untuk sektor penjagaan kesihatan yang disokong oleh peningkatan kekayaan dan populasi yang semakin tua.

Bank pelaburan itu berkata, perbelanjaan penjagaan kesihatan global dijangka berkembang pada purata kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 3.5 peratus untuk mencapai AS$10 trilion (RM45 trilion) menjelang 2026.

Katanya, pihaknya menjangkakan daya pengeluaran pesakit domestik dan antarabangsa akan terus berkembang, manakala intensiti hasil bertambah baik, didorong oleh campuran kes hasil tinggi dengan kes yang lebih akut.

“Permintaan untuk penjagaan kesihatan iaitu keperluan asas, adalah tidak anjal walaupun inflasi tinggi. Satu lagi pemacu utama ialah peningkatan penyakit kronik di seluruh dunia.

“Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir separuh daripada perbelanjaan penjagaan kesihatan global iaitu AS$4 trilion (RM18 trilion) akan dibelanjakan untuk tiga punca utama kematian iaitu penyakit kardiovaskular, kanser dan penyakit pernafasan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Kenanga berkata, peningkatan katil baharu akan meningkatkan kecekapan operasi, pengoptimuman kos dan penyerapan perbelanjaan.

“Begitu juga, kami melihat jualan farmaseutikal dan ubat atas kaunter (OTC) yang mantap disokong oleh peningkatan kesedaran kesihatan.

“Penyelidik pasaran bebas, The Statista Consumer Market Outlook mengunjurkan pasaran farmaseutikal OTC di Malaysia berkembang pada CAGR sebanyak enam peratus kepada anggaran AS$715 juta (RM3.2 bilion) menjelang 2027.

“Ini susulan pengguna mengambil sikap yang lebih proaktif terhadap kesihatan dan kesejahteraan mereka (termasuk mengambil suplemen kesihatan secara berkala), terutamanya selepas pandemik Covid-19,” ujarnya.

Kenanga memilih IHH Healthcare Berhad (IHH Healthcare) sebagai pilihan utama sektor tersebut dengan penarafan ‘outperform’ pada harga sasaran (TP) RM7 sesaham.

Bank pelaburan mengunjurkan pertumbuhan daya pengeluaran pesakit IHH Healthcare dan keamatan hasil akan memacu pendapatan tahun kewangan 2024, didorong oleh lebih banyak kes akut termasuk pembedahan elektif.

“IHH Healthcare menjangkakan momentum pendapatannya akan dipercepatkan, disokong oleh keamatan hasil dan peningkatan permintaan dalam separuh kedua tahun ini.

“Ia telah menambat cajnya kepada pesakit kepada indeks harga pengguna (IHP) merentasi semua pasaran utamanya. Ia menjangkakan daya tampung pesakit yang kukuh di Turki, Singapura dan Malaysia selepas musim perayaan pada suku pertama 2024,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya