PADA 2019 hingga 2021, kerajaan telah melaksanakan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk membantu membendung masalah overhang hartanah atau rumah siap tidak terjual sekali gus meningkatkan pemilikan rumah dialam kalangan rakyat Malaysia.
Inisiatif tersebut wujud selepas kerajaan menyedari permintaan yang tinggi daripada rakyat untuk memiliki rumah sendiri terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan dari segi kewangan akibat kos-kos samping semasa proses jual beli.
Antara kelebihan yang ada melalui kempen tersebut adalah diskaun 10 peratus ditawarkan oleh pemaju untuk hartanah berharga antara RM300,001 hingga RM2,500,000 bagi pembeli rumah pertama.
Selain itu, HOC juga menawarkan pengecualian duti setem ke atas Surat Cara Pemindahan bagi hartanah di bawah nilai RM1 juta.
Memandangkan Belanjawan 2025 akan dibentangkan dua bulan lagi, mungkin inisiatif ini dapat dilihat semula bagi merancakkan industri serta membantu rakyat dalam pemilikan rumah.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina Group Berhad (LBS), Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata, LBS menyokong inisiatif kerajaan melaksanakan HOC pada 2019 yang telah terbukti menerima sambutan yang menggalakkan kerana ia mendorong permintaan untuk pemilikan rumah.
Katanya, pelaksanaan semula kempen ini juga akan membantu mengurangkan bilangan hartanah tidak terjual di negara ini.
“HOC mempromosikan pemilikan rumah dengan menawarkan pilihan pada harga yang berpatutan, berdasarkan keberkesanannya semasa pelaksanaannya dari 2019 hingga 2021.
“Melalui HOC, pembeli rumah kali pertama mendapat manfaat daripada pengurangan 10 peratus dalam harga pembelian rumah bersama-sama dengan pengecualian duti setem untuk rumah berharga di bawah RM1 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Hock San berkata, sebagai pemaju hartanah yang mengutamakan rakyat, LBS berharap kerajaan akan mempertimbangkan untuk memperkenalkan semula HOC dan mengekalkan pelaksanaannya secara konsisten.
“HOC telah dilihat membantu mengekalkan sentimen belian. Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk menawarkan rebat sehingga 10 peratus untuk pembeli rumah kali pertama untuk menggalakkan pemilikan hartanah
“Pelaksanaan semula HOC yang konsisten dan kempen berterusan boleh membantu memastikan kemampanan sektor hartanah negara dengan mengekalkan sentimen permintaan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Paramount Property, Chee Siew Pin berkata, pengenalan semula HOC akan memberi manfaat terutamanya kepada mereka yang hanya mempunyai ‘cukup-cukup sahaja’ untuk membeli rumah.
Tambahnya, lebih-lebih lagi dengan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah berkurangan bagi sebahagian rakyat akibat pandemik Covid-19.
“Selain daripada harga hartanah, kos sampingan berkaitan dengan pemilikan rumah seperti yuran guaman dan duti setem boleh menjadi penghalang kepada pemilikan rumah.
“HOC boleh menyelesaikan kos sampingan,” ujarnya.
Beliau berkata, HOC tidak akan menyelesaikan masalah kemampuan, tetapi ia telah terbukti berkesan dalam membantu lebih 100,000 rakyat Malaysia memiliki rumah dan memacu jualan hartanah antara 2019 dan 2021.
“Biasanya terdapat perbezaan masa sebelum ‘produktiviti’ mewajarkan ‘pendapatan tinggi’ dalam situasi ‘kos semakin meningkat’ sewaktu peralihan sesuatu negara kepada negara berpendapatan tinggi, yang merupakan hasrat Malaysia menjelang 2025.
“Isu kemampuan bukan sahaja melibatkan golongan B40 tetapi juga rakyat Malaysia yang berpendapatan sederhana,” ujarnya. – UTUSAN