Kelewatan hak milik strata timbulkan keraguan pembeli - Utusan Malaysia

Kelewatan hak milik strata timbulkan keraguan pembeli

PEMBELI rumah perlu peka dan memohon hak milik strata dengan segera. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KELEWATAN dalam memperoleh hak milik strata boleh menjadi isu dalam kalangan orang ramai atau pembeli rumah, khususnya di kawasan bandar yang sedang pesat membangun.

Hak milik strata yang sepatutnya menjadi penjamin kepada pemilikan unit kediaman kini boleh menjadi punca kegelisahan dan kerugian bagi ramai pembeli.

Pekerja swasta, Wafaa ­Izzlin Awg Mahlil berkata, isu kelewatan pemilikan strata ini membuatkannya merasa ragu dan bimbang untuk memiliki sebuah rumah.

“Sebagai golongan muda, semestinya saya mengambil berat perkara ini kerana ia berkaitan dengan status dan nilai harta tanah, serta kebarangkalian berlakunya pertikaian undang-undang di masa hadapan.

“Ketidakpastian ini boleh memberi tekanan emosi dan mental, terutamanya kepada pembeli yang sudah tentu ingin memastikan bahawa pelaburan mereka adalah selamat dan berbaloi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Wafaa Izzlin berkata, beliau mengharapkan pihak berkuasa yang terlibat boleh mempercepatkan proses pentadbiran dan menambah sumber di jabatan yang terlibat dan sentiasa berhubung antara pembeli, pemaju dan pihak berkuasa untuk memastikan proses hak milik berjalan lancar.

“Bagi saya, adalah pen­ting bagi semua pihak yang terlibat bekerjasama dalam mencari jalan penyelesaian agar hak pembeli sentiasa terjamin dan tiada masalah dalam pemprosesan prosedur pemilikan strata,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Nazihah Hamzah pula, isu kelewatan dalam mendapatkan hak milik strata memberi impak terhadap keputusannya untuk berjaga-jaga membeli hartanah itu.

“Pertama sekali, hak milik strata satu dokumen penting kerana ia mengesahkan pemilikan dan hak saya sebagai pembeli. Apabila terdapat kelewatan, ia boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan keraguan tentang integriti dan pengurusan projek tersebut.

“Ini mungkin menunjukkan adanya masalah dalam pengurusan atau isu-isu undang-undang yang belum diselesaikan, sekali gus ia boleh mempengaruhi nilai hartanah.

“Saya khuatir nilai hartanah mungkin akan merosot jika masalah ini tidak diselesaikan dengan baik seterusnya menyebabkan kerugian kewangan pada masa depan,” katanya.

Selain itu, jelas Nazihah, kelewatan itu berkemungkinan mengganggu perancangan kewangannya.

“Ini terutamanya jika saya telah membuat pinjaman atau merancang penggunaan hartanah yang segera.

“Jadi, saya cenderung untuk lebih berhati-hati dan mungkin akan menangguhkan keputusan pembelian.

“Hal ini kerana saya perlu memastikan semua isu berkaitan hakmilik strata telah diselesaikan dan mendapat jaminan daripada pihak pemaju yangmasalah ini akan diatasi dalam masa yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Harry Chong Wai Soon berkata, kelewatan itu juga boleh menjejaskan kemampuan pembeli untuk mendapatkan pinjaman perumahan atau membayar balik pinjaman sedia ada.

“Hal ini kerana tanpa hakmilik yang sah, bank (institusi kewangan) mungkin tidak mahu memberikan pinjaman atau mengenakan syarat yang lebih ketat kepada pembeli.

“Selain itu, pembeli mungkin menghadapi kesukaran dalam memindahkan hak milik atau menjual unit mereka kerana tiada dokumen sah yang boleh mengesahkan pemilikan mereka.

“Ini boleh mengganggu kestabilan perancangan masa depan pembeli, terutamanya bagi yang merancang untuk berpindah ke tempat lain atau menjadikan unit tersebut sebagai pelaburan jangka panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya