Jualan tanah bantu tingkat pendapatan S P Setia - Utusan Malaysia

Jualan tanah bantu tingkat pendapatan S P Setia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MIDF Research meramalkan prospek pendapatan S P Setia Bhd. pada separuh kedua 2024, disokong oleh pengiktirafan keuntungan jualan tanah di Setia City, Shah Alam dan Taman Pelangi, Johor Bahru.

Menurutnya, jumlah hasil jualan daripada kedua-dua tanah itu ialah sekitar RM396 juta yang menghasilkan keuntungan RM198 juta.

“Pendapatan yang lebih tinggi pada separuh pertama tahun ini disebabkan keuntungan jualan tanah sebanyak RM371 juta hasil daripada penjualan tanah di Taman Pelangi dan Estet Glengowrie.

“Pendapatan bersih teras suku kedua tahun kewangan 2024 melonjak kepada RM239.9 juta apabila pendapatan meningkat oleh jualan tanah Taman Pelangi Indah sebanyak RM564 juta.

“Selain itu, pendapatan juga dibantu oleh kadar cukai yang lebih rendah sebanyak 33 peratus pada suku kedua tahun kewangan daripada 48 peratus pada suku pertama tahun kewangan 2024,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, prestasi pembangunan hartanah kekal stabil yang mengimbangi prestasi kerjasama yang lebih lemah.

“Jumlah jualan baharu pada separuh pertama tahun ini berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran jualan baharu sebanyak RM4.4 bilion untuk tahun kewangan 2024 kerana jumlah jualan pada separuh pertama merangkumi 52 peratus daripada sasaran jualan baharu.

“Projek tempatan kekal sebagai penyumbang jualan utama kerana ia menyumbang 96 peratus daripada jualan pembangunan.

“Prospek jualan baharu dijangka kekal stabil dengan projek utama laitu Setia Federal Hill dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.4 bilion dijangka diumumkan pada suku keempat tahun kewangan 2024,” katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM1.72 sesaham. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN