Jadikan tandas rumah anda kelihatan kemas dan cantik! - Utusan Malaysia

Jadikan tandas rumah anda kelihatan kemas dan cantik!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANDAS sering kali dianggap sebagai ruang yang kurang penting dalam rumah, namun hakikatnya, ia memainkan peranan besar dalam memberikan serta menonjolkan keselesaan dan kebersihan.

Bayangkan jika anda boleh mengubah tandas rumah anda menjadi ruang yang bukan sahaja praktikal tetapi juga menarik dan menenangkan, sekali gus mencerminkan keperibadian anda yang pembersih.

Dengan beberapa sentuhan kreatif dan strategi yang bijak, tandas rumah anda boleh menjadi lebih cantik dan kemas, setanding dengan bilik-bilik lain di rumah untuk dilihat sebagai tempat yang sederhana tapi ‘sedap mata memandang.’

Menurut PropertyGuru dan beberapa penelitian penulis, terdapat lima cara mudah untuk menjadikan bilik air anda cantik dan selesa supaya lebih kelihatan bersih dan tidak malu jika ada tetamu yang datang dan menggunakan tandas anda.

Gunakan bekas penyimpanan
Seringkali, kita cenderung menyimpan segala barang di sinki tandas seperti berus gigi, sabun, pencuci muka dan pelbagai lagi. Keadaan ini hakikatnya menjadikan ruang mudah kotor dan sukar untuk dibersihkan.

Untuk peralatan itu, anda boleh menggunakan cawan yang sedia ada di rumah. Gelas yang tidak digunakan atau cawan plastik daripada minuman yang boleh dikitar semula. Letakkan putik kapas dalam bekas tertutup, dan untuk alat solek, gunakan bekas khas supaya ia tersusun rapi.

Pasang rak dinding yang sederhana
Menambah ruang simpanan dalam tandas boleh dilakukan dengan memasang rak dinding. Rak ini sesuai untuk menyimpan botol pencuci muka, syampu, sabun badan dan lain-lain.

Tisu tandas juga boleh disusun di rak ini. Keuntungan utama rak dinding adalah ia tidak mengambil ruang di lantai, memudahkan kerja pembersihan tandas anda.

Gunakan penggantung tuala dan baju
Penyangkut baju dan tuala yang ringkas dan berbentuk cangkuk boleh dipasang di belakang pintu tandas. Ini akan memudahkan anda untuk menggantung tuala dan pakaian semasa mandi.

Bagi yang lebih suka meninggalkan tuala di dalam tandas, pasanglah penyidai agar tuala boleh kering dengan baik. Tetapi, pastikan tidak terlalu banyak tuala digantung supaya tidak lembap dan berbau hapak.

Letakkan tikar getah sebagai alas lantai
Ini bagi mengelakkan lantai tandas basah dan licin, terutamanya jika ada anak kecil atau orang tua di rumah, pastikan anda menggunakan tikar getah.

Tikar ini membantu mengelakkan tergelincir dan memastikan keselamatan semua orang di rumah. Bagaimanapun, warna yang dipilih haruslah yang sesuai dan tidak terlalu gelap supaya boleh melihat kotoran dengan jelas.

Pasang cermin dan lampu yang sesuai
Jika cermin di tandas terlalu kecil, pertimbangkan untuk membeli cermin baharu kerana zaman sekarang banyak pilihan yang murah di kedai perkakasan atau perabot.

Cermin adalah hiasan versatil yang boleh memperindah tandas anda, selain memasang lampu yang sesuai dengan suasana tandas untuk meningkatkan pencahayaan dan estetika. Ini bukan sahaja memudahkan aktiviti harian tetapi juga membuat tandas anda kelihatan lebih menarik dan menaikkan mood anda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya