Hak milik strata, apa yang pembeli perlu tahu? - Utusan Malaysia

Hak milik strata, apa yang pembeli perlu tahu?

HAK milik strata perlu dipercepatkan supaya tidak mengundang pelbagai masalah pemilikan di kemudian hari. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAK milik strata memainkan peranan penting dalam pemilikan harta tanah di Malaysia, terutama bagi pembeli rumah di kawasan bandar yang pesat berkembang.

Sistem ini membolehkan pemilik memiliki hak ke atas unit tertentu dalam bangunan seperti kondominium atau pangsapuri, serta berkongsi kemudahan bersama seperti kolam renang, taman permainan dan tempat letak kereta.

Namun, kelewatan dalam memperoleh hak milik strata boleh membawa banyak masalah kepada pembeli.

Menjelaskan perkara itu, Presiden Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM), PMgr Sr Ishak Ismail berkata, masalah itu timbul apabila pemaju gagal mengemukakan permohonan untuk mendapatkan geran hak milik daripada pihak berkuasa.

“Kelewatan ini menyebabkan pembeli tidak dapat menjual atau menyewakan unit mereka. Jika hak milik strata belum dikeluarkan, maka pembeli sering terpaksa menggunakan Surat Ikatan Penyerahan Hak (DOA) untuk memindahkan hak milik.

“Bagaimanapun, masalah ini sering kali menyukarkan mereka untuk mendapatkan pinjaman daripada pihak bank.

“Hal ini kerana mereka mengenakan syarat yang ketat terhadap projek yang melibatkan pemaju yang sudah digulungkan (muflis). Ini menyebabkan pembeli enggan membeli hartanah tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia

Selain itu, beliau berkata, tanpa geran strata, perbadanan pengurusan tidak dapat ditubuhkan yang menyebabkan masalah dalam pengurusan kawasan.

“Ini berlaku terutamanya di kawasan bercampur di mana perbadanan pengurusan subsidiari diperlukan untuk menguruskan kawasan bersama. Jadi, tanpa geran, pembeli terpaksa membayar yuran penyelenggaraan yang tinggi,” katanya.

Mengulas mengenai faktor kelewatan hak milik strata itu, jelas beliau, ia melibatkan beberapa faktor yang boleh membantutkan proses kepemilikan itu.

“Pertama adalah pemaju mungkin lambat mengemukakan permohonan kepada Ketua Pengarah Tanah dan Galian (KPTG) kerana masalah kewangan.

“Kedua, hak milik induk mungkin belum dikeluarkan oleh pihak bank yang memegang cagaran hak milik asal, manakala yang berikutnya adalah isu tanah seperti pecah bahagi tanah atau pembinaan berfasa turut boleh melambatkan pengelua­ran hak milik strata,” katanya.

Beliau berpendapat, pembeli disarankan untuk membuat semakan teliti mengenai keadaan kewangan pemaju sebelum membeli hartanah.

“Sekiranya pemaju beri­siko digulungkan, pembeli boleh membuat aduan kepada KPKT untuk tindakan lanjut.

“Kesedaran mengenai ke­pentingan hak milik strata juga perlu dipertingkatkan. Banyak pemilik strata yang tidak mengambil hak milik strata kerana terpaksa membayar yuran, menyebabkan hak milik strata tidak dapat dipindah milik dengan sempurna.

“Oleh itu, penting untuk me­ningkatkan program kese­da­ran melalui kempen secara berkala dan sebagainya supaya pembeli lebih memahami kepentingan hak milik strata seterusnya dapat mengelakkan risiko yang mungkin timbul di masa hadapan,” katanya.

Turut berpendapat sa­ma, Pengarah VERITAS Ar­chi­­tects Sdn. Bhd., Ar Az­ril Amir Jaafar berkata, kelewatan itu akan me­nye­babkan kesukaran un­tuk mendapat kemudahan pinjaman sekiranya pembeli ingin menggunakan hartanah itu sebagai kolateral kepada pinjaman.

“Tanpa hak milik strata juga sesetengah hak pembeli ke atas hartanah itu akan terjejas seperti hak menghadiri, mengundi di dalam mesyuarat agong Badan Pengurusan (MC) ataupun menjadi ahli MC.

“Sekiranya pembeli asal meninggal dunia, pengurusan harta pusaka menjadi lebih sukar jika hak milik strata tidak diperolehi oleh pembeli asal,” katanya.

Menurutnya, ia akan membawa masalah seperti proses jual beli menjadi lebih sukar dan lebih panjang serta penambahan kos dan harta jualan juga terjejas.

“Bagi sewa pula kesannya minimum namun pemilik berisiko dalam melaksanakan perjanjian sewa tanpa dokumen hak milik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya