IMPAK positif yang dibawa oleh Kempen Pemilikan Rumah (HOC) semasa tempoh pelaksanaannya dahulu mendorong banyak pihak menyokong kerajaan untuk melaksanakannya semula.
Tambahan pula, pengenalan kempen itu dijangka dapat membantu dalam masalah hartanah overhang atau rumah siap tidak terjual.
Laporan Pasaran Harta 2023 dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan sejumlah 25,816 unit kediaman dikenal pasti siap dibina dan belum terjual pada tahun lalu.
Malah minggu lalu, Ringgit melaporkan sebanyak 80 peratus rumah siap yang tidak terjual sudah berusia lebih dari tiga tahun sejak ia dilancarkan, berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah untuk suku pertama 2024 yang dikeluarkan oleh NAPIC.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Institut Pengurus Harta dan Fasiliti Malaysia (MIPFM), PMgr Sr. Ishak Ismail berkata, HOC dipercayai akan memberikan impak positif kepada pasaran hartanah negara jika ia diperkenalkan semula.
Beliau berkata, ini termasuk dalam mendorong jualan harapan melibatkan rumah siap tidak terjual.
“Ini kerana tawaran menarik yang disediakan iaitu pengecualian duti setem dan juga diskaun 10 peratus kepada pembeli rumah pertama.
“Tawaran tersebut telah membantu rakyat untuk membeli rumah dengan lebih mudah,” katanya.
Ishak berkata, HOC juga boleh diperluaskan untuk pasaran subsale atau hartanah sekunder supaya rakyat yang ingin menjual rumah mereka boleh mendapat manfaat daripada inisiatif tersebut berbanding hanya kepada pemaju.
Katanya, pasaran subsale adalah lebih besar dalam pasaran hartanah iaitu sebanyak 80 peratus.
“Kalau ingin mendapatkan impak yang lebih besar daripada skim ini adalah dengan membukanya kepada pasaran subsale.
“Pembeli juga dapat membuat pilihan. Selain itu, dengan membeli hartanah subsale, pembeli mendapat rumah yang sudah siap dan mengurangkan risiko rumah terbengkalai,” ujarnya.
Tambahnya, pengenalan semula HOC dapat merancakkan lagi pasaran hartanah yang seterusnya dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Sektor hartanah penting dalam ekonomi negara dan memberi sumbangan yang signifikan kepada KDNK. Jika sektor ini semakin rancak, ia akan memberi impak positif kepada negara,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, HOC perlu dilaksanakan semula tetapi menggunakan pendekatan berbeza.
Katanya, ini kerana hutang isi rumah sekarang berjumlah RM1.53 trilion dan 60 peratus daripadanya adalah hutang perumahan.
“Jumlah pinjaman yang diluluskan meningkat enam peratus setiap tahun. Ini bermakna peratusan rakyat yang berhutang untuk memiliki rumah akan meningkat.
“Apabila hutang meningkat, tiada lebihan pendapatan untuk simpanan, pelaburan dan meningkatkan kualiti hidup,” katanya.
Beliau berkata, pinjaman rumah berharga RM300,000 dengan tempoh 30 tahun dan faedah tujuh peratus akan menyebabkan peminjam membayar lebih RM700,000 sepanjang tempoh pinjaman.
“Oleh itu HOC harus menumpukan kepada pemilikan rumah melalui alternatif pembiayaan yang tidak melibatkan institusi kewangan.
“Alternatif yang ada ialah sistem musharakah mutanaqisah yang berasaskan konsep sewa beli dan boleh ditawarkan di bawah koperasi dan juga agensi kerajaan seperti Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
“Sistem musharakah mutanaqisah membolehkan pemilik rumah dapat melunaskan komitmen kurang dari 20 tahun dan bayar kurang berbanding pinjaman bank. Ini yang saya harap ada dalam Belanjawan 2025 nanti,” ujarnya. – UTUSAN