Usahawan popia, kopi jana RM50,000 sebulan - Utusan Malaysia

Usahawan popia, kopi jana RM50,000 sebulan

PASANGAN suami isteri Hidayah dan Ubaidillah mengusahakan Poko Cafe sejak 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Bermula dengan modal RM6,000, kini pasangan suami isteri di sini berjaya menjana pendapatan sekitar RM50,000 sebulan dengan menjual popia dan kopi.

Pada awalnya pasangan terbabit, Hidayah Yusoff, 31 dan Ubaidillah Sahabu, 28, hanya berniaga di gerai kecil tepi jalan, namun hasil bantuan Bank Muamalat melalui program iTekad Mawaddah, mereka kini sudah memiliki sebuah kafe beserta empat kakitangan.

Ujarnya, pada awalnya dia hanya berniaga dari rumah dengan menjual popia pisang dan carbonara manakala Ubaidillah bekerja sebagai penunggang perkhidmatan penghantaran barangan atau makanan P-Hailing.

“Segalanya bermula pada 2020 selepas suami terlibat dalam kemalangan ketika menunggang motosikal sehingga menyebabkan dia tidak lagi dapat melakukan kerja berat berikutan kecederaan patah tulang belakang.

“Disebabkan itu kami ambil keputusan untuk membuka gerai menjual popia dan suami pula menjual kopi. Kemudian kami terjumpa tawaran Bank Muamalat di laman sosial.

“Pihak Bank Muamalat kemudiannya menawarkan kami bantuan di bawah program i-Tekad dan dari situ kami cuba buka kedai yang kami namakan sebagai Poko Cafe iaitu gabungan perkataan popia dan kopi,” kata ibu kepada dua cahaya mata berusia empat dan tiga tahun itu.

Ujarnya, dengan bantuan yang diberikan melalui i-Tekad itu juga mereka gunakan untuk menambah baik daripada menggunakan mesin kopi biasa kepada mesin kopi komersial.

“Kami menyedari mesin sebelum ini tidak cukup untuk menampung jumlah pesanan daripada pelanggan justeru kami ambil keputusan untuk tukar kepada mesin komersial,” katanya.

Mengetengahkan konsep terbuka dan santai, Poko Cafe dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi sehingga jam 10 malam dengan menawarkan pelbagai jenis makanan dan minuman berharga antara RM7 sehingga RM30.

“Antara makanan yang mendapat sambutan ialah dua jenis popia iaitu popia pisang dengan pelbagai toping selain popia carbonara.

“Selain itu, bagi kopi pula, kopi yang paling mendapat permintaan ialah kopi Poko Signature dan Caramel Macchiato yang masing-masing dijual pada harga RM12 dan RM10,” ujarnya.

Hidayah berkata, Poko Cafe turut mengeluarkan produk minuman kopi dalam botol dan merancang untuk mengembangkan lagi produk mereka itu di masa akan datang dengan beberapa penambahbaikan.

“Kami menghasilkan lima jenis minuman dalam botol yang berasaskan kopi. Buat masa ini kami ada memasarkan secara kecil-kecilan.

“Kami masih memikirkan cara terbaik untuk kami botolkan minuman ini supaya tahan lebih lama dan berada dalam keadaan baik.

“Tambahan pula kami dalam proses untuk memohon sijil halal dengan bantuan Bank Muamalat. Selepas ada sijil halal, lebih bersemangat untuk kami kembangkan lagi produk ni,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya