Tropicana GP Views Sdn. Bhd. menawarkan dua pembangunan perbandaran baharu di bawah Tropicana Uplands iaitu Aster Heights dan Fraser Heights dengan nilai pembangunan kasar (GDV) masing-masing RM100 juta dan RM387 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Tropicana, Ong Chou Wen berkata, projek itu bertujuan menawarkan tahap kehidupan yang lebih tinggi dan berkualiti kepada penduduk di Johor dengan nilai GDV keseluruhan hampir RM2.4 bilion.
“Kedua-dua pembangunan ini terletak di kawasan strategik Gelang Patah iaitu dalam Zon Flagship B Iskandar Malaysia.
“Tropicana Uplands meliputi keluasan tanah seluas 244 ekar di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Pontian (MPPN).
“Kedua-dua projek ini dijangka menjadi pembangunan perbandaran terbesar di daerah Pontian yang menggabungkan elemen kediaman bertanah, kediaman bertingkat tinggi dan komersial,” katanya.
Jelasnya, projek itu telah dimulakan dengan pelancaran Aster Heights pada 2022 dan bakal disusuli dengan Fraser Heights pada suku ketiga 2024.
“Bagaimanapun, projek Aster Heights telah siap sepenuhnya pada awal Jun tahun ini dan akan diserahkan kepada pemilik pada Julai.
“Aster Heights menawarkan 193 unit yang meliputi 12.57 ekar, manakala Fraser Heights pula sebanyak 518 unit dengan keluasan 35.26 ekar.
Jelasnya, beberapa ciri unik Tropicana Uplands, termasuk status tanah pegangan bebas, kedudukannya dalam Zon Antarabangsa serta kemudahan-kemudahan sedia ada di sekitar Gelang Patah.
“Pembangunan ini juga menekankan hubungan strategik dengan jarak hanya 16.5 km dari Kota Iskandar melalui Laluan Kedua Malaysia-Singapura, 23 km dari CBD & Danga Bay melalui laluan yang sama dan 24 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Jarak ke Singapura hanya 29 km melalui Tuas Checkpoint.
“Ia juga berdekatan Terminal Bas GP Sentral, Sekolah Antarabangsa Tenby dan SJK (C) Pai Tze hanya 4 km dari lokasi, SMK Gelang Patah (8 km) dan Hospital Columbia Asia yang terletak 11 km dari pembangunan ini.
“Pekan Nanas juga hanya 12 km dari sini, manakala Stadium Sultan Ibrahim, Pusat Pakar Kensington Green dan SMK Medini berjarak 13 km.
“AEON Mall Bukit Indah terletak 14 km dari Tropicana Uplands, diikuti oleh EduCity (15 km), Legoland Malaysia dan Kota Iskandar (16 km) serta Mydin Mall Mutiara Rini (17 km),” katanya. – UTUSAN