JOHOR BAHRU: Tropicana Corporation Berhad (Tropicana) sedang membangunkan dua bandar mega bernilai lebih RM30 bilion dalam nilai pembangunan kasar (GDV) di sebahagian tanahnya yang seluas 2,000 ekar di Johor.
Ketua Pegawai Eksekutif Tropicana, Ong Chou Wen berkata, dua bandar mega itu adalah Lido Waterfront Boulevard di Johor Bahru dan Tropicana Uplands di Gelang Patah yang akan menambah lagi pembangunan kepada landskap Johor.
“Kedua-dua bandar ini mempunyai akses mudah ke Tambak Johor dan Lebuhraya Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) yang menarik minat penduduk tempatan serta rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan rakyat Singapura sendiri.
“Sejak 2010, Tropicana telah kukuh bertapak di Johor dengan membina bandar-bandar lestari yang berpusat di sekitar lapan DNA pembangunan dan tiga prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kami.
“Sehingga kini, kami telah menyiapkan lebih daripada lapan pembangunan yang tersebar di tiga bandar, iaitu Tropicana Danga Bay, Tropicana Danga Cove dan Tropicana Uplands,” katanya ketika Lawatan Tapak Pembinaan Hartanah Tropicana bersama Media selama dua hari, di sini.
Menurut Chou Wen, indeks permintaan untuk hartanah Johor meningkat sebanyak 17 peratus, selaras dengan Laporan Pasaran Hartanah NAPIC 2023.
“Laporan itu mencatatkan penurunan 20 peratus dalam unit hartanah tidak terjual di Johor dari 5,258 pada tahun 2022 kepada 4,228 unit pada tahun 2023.
“Selari dengan kenaikan harga sewa di Singapura, ini adalah masa yang tepat untuk Tropicana melancarkan bandar-bandar strategiknya untuk merangsang rancangan pertumbuhannya di pasaran Johor yang sedang berkembang pesat.
“Negeri ini juga telah muncul sebagai destinasi utama untuk pusat data terutamanya disebabkan oleh kedudukannya yang berhampiran dengan Singapura,” ujarnya.
Jelasnya, Tropicana bekerjasama dengan pusat data terkenal untuk memudahkan dan meneroka cara-cara inovatif untuk mengoptimumkan prestasi dan meningkatkan kecekapan tenaga di salah satu tanah mereka.
“Ini juga selaras dengan menyokong usaha kerajaan dengan mengurangkan penggunaan kuasa menjadikannya lebih hijau dan lebih lestari.
“Lido Waterfront Boulevard dan Tropicana Uplands akan mengisi jurang di pasaran Johor, sekali gus merancakkan pelabur dari negara luar dalam meningkatkan hartanah negara,” katanya.
Tambahnya, negeri itu berjaya memperoleh salah satu dana pelaburan asing tertinggi yang berjumlah RM63.9 bilion pada tahun 2023.
“Kami memanfaatkan potensi besar di Johor dengan membangunkan dua bandar mega ini dan mengubah bandar-bandar ini menjadi metropolis dinamik di selatan,” katanya. – UTUSAN