Status halal bantu Awie Enterprise pasarkan produk di pasar raya - Utusan Malaysia

Status halal bantu Awie Enterprise pasarkan produk di pasar raya

ZURIATI SULAIMAN menunjukkan beberapa produk makanan Awie Enterprise di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perniagaan produk masakan Negeri Sembilan, Awie Enterprise berjaya menembusi pasar raya besar dan stesen minyak selepas mendapat pengiktirafan pensijilan halal sekali gus memperkukuh pasaran produk mereka di Semenanjung Malaysia.

Pengurus Awie Enterprise, Zuriati Sulaiman berkata, ketika ini, mereka telah memasarkan produk keluaran mereka di lebih 100 pasar raya AEON dan lebih 1,000 stesen minyak Petronas.

“Saya melihat pengiktirafan halal ini membawa produk saya ke pasaran lebih besar dan mula dipercayai dan dikenali pelanggan.

“Dengan pasaran lebih besar, kini kami mampu menjana pendapatan sehingga RM40,000 sebulan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Zuriati yang menjalankan perniagaan di Ampang Tinggi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan sejak 2005 mula mengusahakan produk serunding ikan bilis dan snek popia simpul namun, kini telah menambah beberapa produk lain termasuk serunding daging dan ayam.

“Sehingga kini, kami juga telah memasarkan produk sedia dimakan iaitu masak lemak daging salai, rendang daging salai, rendang daging pinang, rendang ayam serta rendang itik. Alhamdulilah semua produk ini mempunyai sijil halal,” katanya.

Bermula dengan harga RM8 hingga RM12.90, produk keluarannya mendapat permintaan tinggi ketika bulan ramadan dan perayaan Aidilfitri sehingga mencecah RM90,000.

Mengulas mengenai pensijilan halal, Zuriati mengambil keputusan memohon halal pada 2005 kerana khuatir pelanggan was-was mengenai produk utama yang menggunakan daging.

“Pelanggan sering bertanya sama ada menggunakan daging yang halal dan sebagainya. Hal ini kerana produk keluaran kami menyediakan produk sedia dimakan dan kebanyakan dibeli oleh pelanggan beragama Islam.

“Saya mengajak semua usahawan memohon sijil halal agar memudahkan urusan menjual produk dan pelanggan lebih yakin untuk membeli makanan yang dijual,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya