Segmen EV dapat sambutan golongan M40 - Kenanga - Utusan Malaysia

Segmen EV dapat sambutan golongan M40 – Kenanga

ORANG ramai mencuba kenderaan elektrik Tesla Model 3 di ruang pameran semasa Ekspo Rantaian Bekalan Antarabangsa China (CISCE) di Beijing pada 1 Disember 2023.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia kini beralih kepada kereta mampu milik dan kereta elektrik (EV) ekoran didorong oleh peralihan kepada kenderaan yang lebih cekap tenaga dan jimat bahan api.

Kenanga Research berkata, segmen kereta mampu milik lebih tertumpu kepada kumpulan B40 didorong oleh kesan rasionalisasi subsidi terhadap bahan api dan manfaat pengenalan gaji progresif.

Menurutnya, kenaikan gaji 13 peratus bagi kebanyakan penjawat awam pada Disember 2024 bakal memulihkan sebahagian kuasa perbelanjaan yang terhakis disebabkan inflasi tinggi.

“Kami mendapati kumpulan M40 memilih untuk membeli kereta EV, yang bertujuan dapat membantu mengurangkan kos minyak ekoran pelaksanaan kerajaan terhadap subsidi bahan api,” katanya dalam nota kajian.

Sehubungan itu, katanya, selain menawarkan harga mampu milik ,model Perodua dan Proton menjual lebih banyak jenama bukan nasional yang menerapkan spesifikasi terutamannya enjin yang lebih jimat penggunaan bahan api.

“Perodua memperkenalkan dua model baharu berharga kurang RM100,000 di pasaran, yang mana antaranya merupakan model Perodua EV yang pertama.

“Proton menggunakan teknologi daripada syarikat automotif dari China, Zhejiang Geely Holdings Group bagi peralihan kepada EV,” katanya.

Dalam pada itu, bagi pasaran jenama bukan nasional, firma penyelidikan itu melihat kemasukan pembuatan kereta dari China dan Amerika Syarikat antaranya BYD, Tesla dan Chery, memfokuskan pada segmen premium dengan model EV baharu yang lebih kukuh.

Secara umumnya, Kenanga Research mendapati pendapatan industri automotif semakin stabil dengan disokong oleh tempahan tertunggak sebanyak 200,000 unit pada akhir Mei 2024.

“Lebih separuh daripada tunggakan tempahan tersebut terdiri daripada model baharu, dalam masa sama trend ini berkemungkinan berterusan sepanjang 2024 ekoran terdapat pelbagai pelancaran model kereta terbaharu.

“Jualan kenderaan juga akan disokong oleh kenderaan elektrik bateri (BEV) baharu dengan adanya pengecualian cukai barang dan perkhidmatan (SST) dan insentif kemudahan EV lain sehingga 2025 untuk diimport sepenuhnya (CBU),” katanya.

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 740,000 unit iaitu penurunan 8 peratus pada 2024 selaras dengan ramalan Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Kenanga Research menge­kalkan panggilan ‘neutral’ terhadap sektor automotif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN