Ringgit dijangka terus berlegar RM4.70 hingga RM4.71 minggu ini - Utusan Malaysia

Ringgit dijangka terus berlegar RM4.70 hingga RM4.71 minggu ini

KALI terakhir ringgit mencapai 4.1470 berbanding dolar AS adalah pada 2 November 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar mengunjurkan ringgit akan terus berlegar sekitar RM4.70 hingga RM4.71 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini.

Tinjauan pasaran mata wang asing dan ekuiti tempatan masih lagi berpaksikan kepada prospek pengurangan kadar faedah di AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, buat masa ini, data-data ekonomi menunjukkan adanya tanda ekonomi mereka mula perlahan.

“Sentimen perniagaan juga menjadi lebih pesimistik dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan berdasarkan indeks Institut Pengurusan Bekalan (ISM).

“Justeru, jangkaan pemotongan kadar faedah di AS semakin kuat kedengaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut beliau, pada minggu ini data inflasi di AS akan dipantau secara rapat oleh para peserta pasaran bagi memastikan adakah inflasi masih menunjukkan fasa penurunan ke arah sasaran Rizab Persekutuan AS (Fed) dua peratus.

“Pengerusi Fed, Jerome Powell akan membuat pembentangan kongres AS bagi memberi penilaian ekonomi AS dan global yang terkini kepada ahli kongres.

“Sehubungan itu, penilaian terkini oleh pihak Fed terhadap prospek inflasi akan diberi perhatian yang akan membentuk sentimen pasaran pada minggu hadapan,” katanya.

Bagi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pula, beliau menjangkakan kekal positif disebabkan peserta pasaran ekuiti dilihat begitu optimistik bahawa pemotongan kadar faedah pada bulan September dijangka akan berlaku.

“Oleh itu, indeks FBM KLCI dijangka bergerak sekitar 1,613 hingga 1,620 mata pada minggu hadapan,” katanya.

Turut berpandangan sama, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jangkaan ringgit mungkin berlegar sekitar RM4.70 ke RM4.71.

“Hal ini kerana tiada perkembangan atau berita yang signifikan di peringkat global dan domestik menyebabkan sentimen bercampur-campur,” katanya.

Selain itu, beliau turut menjangkakan bursa mungkin berada antara 1,610 dan 1,620 mata pada minggu ini.

Jumaat lalu, Bursa Malaysia memulakan dagangan dengan positif apabila meningkan 1.43 mata kepada 1,616.06 daripada 1,616.75 semasa ditutup pada Khamis.

Bagaimanapun, pada dagangan tengah hari, indeks petunjuk aras itu turun kepada 1,614.82 sebelum ditutup pada 1,610.49 di akhir dagangannya (Jumaat). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya