Pinjaman perumahan dwi-generasi: Manfaat atau perangkap kepada generasi muda? - Utusan Malaysia

Pinjaman perumahan dwi-generasi: Manfaat atau perangkap kepada generasi muda?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CABARAN kos harta­nah perumahan yang semakin meningkat sa­ban tahun menjadi krisis dalam kalangan rakyat negara ini untuk memiliki kediaman sendiri.

Bagi mengatasi isu ini, pelbagai pihak mengemukakan formula dan saranan masing-masing untuk membolehkan rakyat negara ini mencapai hasrat memiliki hartanah idaman termasuk melalui pinjaman dwi-generasi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pinjaman dwi-generasi sememangnya bukan perkara baharu di rantau Asia.

Katanya, jenis pinjaman ini telah pun dilaksanakan di negara-negara yang menghadapi harga hartanah tinggi dan terus meningkat.

Menurutnya, skim yang hampir sama telah diperkenalkan oleh kerajaan pada 2022, melalui Cagamas Berhad (Cagamas) iaitu Skim Saraan Bercagar (SSB) dan Skim Saraan Bercagar Islamik (SSB-i) dengan permulaan RM100 juta.

“Ia adalah untuk membantu warga tua bagi memenuhi cabaran kos hidup menggunakan hartanah yang sudah sedia ada.

“Namun, pinjaman dwi-generasi adalah lebih menjurus kepada konsep waris iaitu anak menyambung pembayaran rumah setelah ibu bapa tidak lagi bekerja.

“Ia praktikal di bandar raya besar seperti di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Kos hidup yang tinggi juga turut menjadi cabaran di sini selain daripada kos hartanah yang terus meningkat,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Bagaimanapun, Aimi Zulhazmi berkata, dengan memberi komitmen kepada pinjaman generasi kedua yang mempunyai tempoh pinjaman selama 40 tahun atau lebih sehingga 70 tahun, pembeli rumah mungkin tidak berada dalam kedudukan untuk bersara apabila dia mencapai umur 60 tahun.

Katanya, mereka mungkin perlu terus bekerja untuk membayar obligasi pinjaman tertunggak atas beberapa sebab dan juga sekiranya generasi kedua tidak dapat atau tidak mahu menunaikan baki tuntutan tertunggak.

“Jika peminjam tidak mempunyai kesihatan yang optimun dan tidak boleh bekerja lagi, pembeli akan menghadapi perampasan rumah pula walaupun selepas membayar pinjaman perumahan selama lebih 30 tahun.

“Selain itu, peminjam pula apabila mencapai umur persaraan, dia boleh menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membayar pinjaman.

“Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, majoriti rakyat Malaysia tidak mempunyai wang yang mencukupi dalam akaun KWSP mereka untuk bersara dengan selesa. Oleh itu, tidak akan dapat menggunakan dana KWSP mereka untuk membayar balik baki pinjaman antara generasi selepas bersara.

“Jelas, ini akan lebih memberikan kompleksiti kepada masalah persaraannya,” ujarnya.

Beliau berkata, tidak dapat dinafikan bahawa ansuran bulanan bagi pinjaman dwi-generasi ini adalah lebih rendah daripada tempoh pinjaman konvensional tetapi kerana tempoh pinjaman yang lebih lama, pembeli rumah juga membayar faedah yang jauh lebih tinggi sepanjang tempoh keseluruhan.

“Dalam sesetengah keadaan, bahagian faedah mungkin lebih tinggi daripada jumlah pinjaman pokok.

“Di sini, dapat dilihat manfaat utama pinjaman dwi-generasi ialah institusi kewangan dan pemaju perumahan. Institusi kewangan akan memperoleh keuntungan yang lebih tinggi dan pemaju perumahan akan dapat menjual hartanah yang bernilai lebih tinggi kerana bank sanggup membiayai hartanah tersebut.

“Ini hanya akan memburukkan lagi keadaan generasi muda yang tidak mampu untuk membeli rumah pertama mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pinjaman dwi-generasi dilihat akan memberi bebanan kepada waris di masa depan.

Katanya, cadangan ini perlu dielakkan kerana ia boleh membebankan waris kerana terpaksa menyambung bayaran pembiayaan perumahan apabila ibu bapa meninggal dunia.

“Waris pula mungkin mempunyai perancangan untuk menetap di kawasan atau negeri lain bagi mencari peluang pekerjaan atau perniagaan.

“Sudah pasti pembiayaan dwi-generasi akan memberi kekangan kepada waris untuk mencari rezeki di lokasi yang lain yang mungkin jauh daripada rumah ibu bapa mereka,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya