Pereka fesyen OKU mampu jana pendapatan lumayan - Utusan Malaysia

Pereka fesyen OKU mampu jana pendapatan lumayan

rosali Md. Rasid tidak menjadikan kekurangannya sebagai satu penghalang untuk berjaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK mahu menjadikan kekurangan diri sebagai alasan, Rosali Md. Nasid membuktikan kemampuan diri dengan menjadi tukang jahit dan pereka fesyen untuk kostum bertemakan busana klasik, pakaian tari tradisional masyarakat dan banyak lagi.

Anak jati kelahiran Perak yang memegang status orang kelainan upaya (OKU) kerana kecacatan fizikal berkata, dia pada mulanya tidak menyangka kemahiran menjahit yang dimiliki bakal membuka peluang mendapat tempahan bagi pembuatan kostum pementasan tari, teater, filem dan rancangan televisyen tempatan.

“Saya memilih untuk mempelajari kursus menjahit dalam inisiatif disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bukanlah minat namun melihat kepada keupayaan beliau yang boleh membantu menjana pendapatan.
“Sebelum memiliki kedai jahit sendiri, saya mula bekerja dengan butik pakaian lain dan mengambil upah menjahit secara kecil-kecilan.

“Daripada pengalaman tersebut, kemahiran menjahit pakaian mula diperbaiki dari semasa ke semasa, sehinggakan saya mengambil keputusan untuk membuka butik sendiri yang kini beada di Setapak, Kuala Lumpur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi mengembangkan lagi kemahiran menjahit dalam dunia fesyen, beliau turut menyambung pengajian di IFTC International Academy of Fashion and Design, Kuala Lumpur.

BERSAMA keluarga tercinta

Oleh kerana banyak pelanggan yang mengagumi hasil tangannya ketika bekerja dengan pereka fesyen lain sebelum ini, Rosali bersama seorang pembantunya tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan pakaian.

Kemudian sekitar tahun 2013, perniagaannya mula mengambil tempahan menjahit kostum, apabila terdapat pementasan tarian daripada sekolah rendah yang memerlukan perkhidmatannya untuk menyediakan pelbagai busana.

“Walaupun pada mulanya ia agak mencabar kerana perlu menyiapkan antara 12 hingga 20 pakaian untuk satu tempahan, namun saya tidak putus asa dan berusaha sebaik mungkin menghasilkan pakaian berkualiti untuk prlanggan,” ujarnya.

Menurutnya, hasil kerja yang berkualiti itu turut menarik perhatian daripada sahabat yang juga membekalkan kostum kepada pementasan teater dan acara-acara lain.

Justeru, katanya, sahabatnya itu mempercayainya untuk menyiapkan kostum bagi permintaan penyedia pakaian teater, rancangan hiburan di stesen televisyen tempatan untuk digunakan oleh barisan pelakon, penghibur dan penari.

“Apabila mendapat tempahan tersebut, masa yang diperlukan untuk menyiapkan semua kostum adalah singkat dan membuatkan saya terpaksa bekerja lebih keras.

“Dengan bantuan daripada Baitumal dari segi mesin dan peralatan lain yang memudahkan pembuatan pakaian, sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan tenaga saya,” katanya.

HASIL kerja yang halus menarik perhatian stesen televisyen untuk menggunakan perkhidmatan beliau dalam menghasilkan busana tarian.

Nama beliau sebagai tukang jahit OKU dan hasil kerjanya dikenali dalam menyiapkan pakaian bagi pementasan teater dan stesen televisyen kian mendapat sambutan daripada penyedia pakaian bagi penerbitan yang lebih besar.

“Antaranya, ialah kostum bagi pementasan ‘Cuci the Musical’ yang diterbitkan oleh selebriti terkenal Hans Isaac, rancangan Maharaja Lawak, dan filem Mat Kilau 1, arahan pengarah filem tanah air, Syamsul Yusof,” katanya.

Justeru, beliau turut menasihati agar mereka yang juga merupakan golongan OKU agar tidak berputus asa dan yakin dengan keupayaan sendiri dapat mengubah kehidupan masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya