Pelarasan subsidi diesel: Harga hartanah dijangka meningkat - Utusan Malaysia

Pelarasan subsidi diesel: Harga hartanah dijangka meningkat

HARGA hartanah dijangka meningkat berikutan kenaikan harga bahan mentah selepas pelarasan subsidi diesel. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIARPUN belum cukup tempoh sebulan kerajaan melaksanakan pelarasan subsidi diesel, pemaju hartanah di negara ini mula menjangkakan kenaikan dalam harga jualan sektor itu.

Ini disebabkan kenaikan kos binaan seterusnya memberi impak kepada harga jualan hartanah di negara ini.

Secara tidak langsung, kadar inflasi dan kos sara hidup juga akan mengalami peningkatan apabila harga rumah semakin naik, kuasa membeli akan menurun sekali gus mengganggu kualiti kehidupan.

Perkara itu diakui oleh Ke­tua Pegawai Operasi Kumpulan M K Land Holdings Berhad (M K Land), Ahmad Soalahuddin Al-Thani yang memaklumkan, beberapa tender terkini mula menunjukkan peningkatan kos.

“Setakat ini, belum dimuktamadkan kadar peningkatan kos pembinaan tetapi beberapa tender terkini menunjukkan kenaikan berbanding tender terdahulu.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan jualan rumah akan kekal stabil hasil daripada pakej jualan yang menarik dan keadaan ekonomi yang semakin pulih. Ini menunjukkan kos pembinaan akan naik secara langsung dan tidak langsung hasıl daripada peningkatan kos logistik dan kos pengangkutan lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut beliau, sebagai pemaju, antara langkah yang dilaksanakan selepas pelarasan subsidi diesel ialah proses perolehan yang cekap melalui pembelian pukal dan pembelian daripada pembekal di lokasi yang dekat dengan tapak pembinaan untuk mengurangkan kos logistik.

“Pengurangan kos melalui reka bentuk bangunan yang lebih cekap juga boleh membantu mengurangkan impak daripada peningkatan kos diesel,” katanya.

Beliau turut memberi beberapa saranan kepada kerajaan agar memberi subsidi diesel bagi kenderaan angkut yang membawa barang mentah untuk projek pembinaan atau mengurangkan kos logistik seperti cukai kenderaan.
“Selain itu, kerajaan juga boleh mengurangkan cukai alat ganti kenderaan dan mengurangkan kos tol dan cukai jalan kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Negara PropertyGuru Group Limited (PropertyGuru), Kenneth Soh berkata, walaupun terdapat potensi peningkatan kos pengangkutan dan pembinaan, kesan keseluruhan terhadap harga dan permintaan hartanah akan bergantung kepada pelbagai faktor, termasuk keadaan makroekonomi dan keupayaan pasaran untuk menyesuaikan diri.

Jelasnya, masih terlalu awal untuk menentukan kesan penuh rasionalisasi subsidi diesel terhadap pasaran hartanah.

“Terdapat aspek tingkah laku yang perlu dipertimbangkan kerana orang ramai mungkin menyesuaikan diri dengan cara yang berbeza dan terdapat banyak faktor yang mempengaruhi bekalan.

“Oleh itu, walaupun kita boleh menjangkakan beberapa kesan kenaikan ke atas pembangunan akibat kos pengangkutan yang lebih tinggi, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan yang kukuh mengenai trend harga. Ini adalah situasi yang sedang berkembang yang memerlukan pemerhatian serta analisis lebih lanjut,” katanya.

Baru-baru ini dalam sesi Dewan Rakyat, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, penyasaran subsidi diesel tidak seharusnya memberi impak terhadap harga rumah.

Jelasnya, sebelum kerajaan memperkenalkan penyasaran subsidi bahan api itu, sektor berkenaan sememangnya tidak menerima sebarang subsidi diesel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya