Panduan memilih jubin rumah anda - Utusan Malaysia

Panduan memilih jubin rumah anda

PEMILIHAN jubin perlu mengikut kawasan dalam rumah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH berhempas pulas mendapatkan rumah anda sendiri, pastinya anda mahu memberikan sentuhan untuk mengindahkan mahligai tersebut.

Antaranya, dengan memasang jubin lantai di seluruh kawasan rumah termasuk dapur, ruang tamu, bilik tidur, bilik air dan sebagainya.

Jubin rumah akan kelihatan cantik jika anda pandai memilih jubin yang betul-betul berkualiti dan sesuai.

Jadi untuk keluaran RINGGIT kali ini, kami kongsikan beberapa tips pemilihan lantai jubin untuk rumah anda.

TENTUKAN KONSEP RUMAH
Jubin ini bukan sahaja untuk lantai di ruang tamu, tapi menyeluruh sampailah ke bilik mandi dan juga ruang dapur. Apabila anda sudah menentukan konsep, sebenarnya sebenarnya lebih mudah untuk anda menentukan pemilihan warna, corak dan saiz jubin.

Satu cara yang terbaik untuk melihat jubin sebelum membelinya adalah dengan berdiri dalam jarak sekurang-kurangnya satu meter untuk mendapatkan gambaran yang realistik bagi jubin tersebut.

TEKSTUR JUBIN BERDASARKAN LOKASI
Pada bahagian luar atau kawasan mudah terdedah kepada kelembapan, anda boleh menggunakan jubin dengan permukaan bertekstur lebih kasar.

Berbanding untuk kegunaan dalaman rumah, selalunya jubin daripada jenis permukaan licin dan berkilat sering menjadi pilihan. Bagi kediaman yang lebih kecil, pilihan jubin sederhana lebih baik berbanding bersaiz kecil atau besar.

Seterusnya jubin daripada jenis yang kasar selalunya mudah memerangkap kotoran dan berdaki. Justeru, menggosok dan pembersihan secara intensif dengan teknik betul diperlukan untuk mengekalkan keaslian permukaan.Jangan sesekali memasang jubin yang dikhaskan untuk dinding pada lantai kerana masing-masing ada perbezaannya.

Jubin Seramik
Dianggap jubin paling asas, ia diperbuat daripada campuran tanah liat, pasir dan bahan semulajadi yang lain. Bahan-bahan tersebut kemudiannya diadun menerusi proses penekanan dan dibakar dalam suhu yang tinggi. Kebiasaannya dipasang di dalam bilik seperti ruang tamu dan bilik tidur, jubin seramik juga sesuai dipasang sebagai jubin dinding kerana ianya lebih ringan dan boleh didapati dalam bentuk berkaca atau tidak berkaca.

Jubin porselin
Diperbuat daripada tanah liat, pasir dan air. Selain ketahanannya, jubin porselin datang dalam pelbagai warna, reka bentuk dan permukaan. Tanah liat digunakan untuk membina Jubin porselin umumnya lebih padat. Bukan sekadar berkilat dan pusam, ia juga menawarkan permukaan yang boleh memantulkan cahaya. Maka ia sesuai dipasang sama ada di dalam atau di luar rumah. Jubin porselin biasanya ditemui di bilik mandi, dapur, anjung dan balkoni.

Jubin homogen
Dianggap bahan lantai terkuat dan diguna secara komersial seperti di pusat membeli-belah, lapangan terbang dan hospital, di mana terdapat banyak pergerakan kaki. Terdiri daripada bahan jubin khas dan tanah liat, ianya tidak licin, sesuai dipasang di kawasan yang basah contohnya di dalam bilik mandi, dapur dan tempat letak kereta. Proses pembentukan yang kuat menjadikan jubin homogen kental dan tahan air, maka ianya bersesuaian untuk penggunaan jangka masa panjang.

Jubin simen
Tidak seperti jubin lain, jubin simen tak guna tanah liat sebagai bahan utama dan tidak melalui proses pemanasan. Proses hidraulik biasanya digunakan untuk membuat jubin ini. Sesetengah jubin simen adalah handmade, menjadikannya ia unik. Sesuai digunakan di kawasan yang basah dan lembap seperti bilik mandi, dinding pancuran mandi atau bilik stim.

PILIH KONTRAKTOR YANG BERTANGGUNGJAWAB
Selain itu, anda juga perlu memastikan tukang yang dipertanggungjawabkan untuk memasang jubin di rumah anda juga adalah yang berpengalaman dalam pemasangan jubin. Jadi, hasilnya mestilah sempurna dan jubin yang dipasang nampak cantik dan kemas. Jika tidak, pasti anda akan tidak berpuas hati dengan hasil kerja dan akhirnya menyesal di kemudian hari.

Kos beli dan pasang jubin bukannya murah jadi, hati-hati semasa pilih tukang ya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya