PETALING JAYA: Nis Spice Manufacturing Sdn. Bhd. (Nis Spice) kini memperluas jenama sebagai rempah halal di luar negara selepas memperoleh sijil halal pada tahun 1993 daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pengurus Nis Spice, Muhammad Amirrulfaiz Mohd. Alwi berkata, syarikat pengeluar rempah dan herba itu sudah menembusi pasaran luar negara iaitu di Australia.
“Selepas ini, kami merancang untuk melebarkan sayap ke negara-negara Pan Asia, dimana ramai penduduk Asia yang ingin merasai makanan tradisional Malaysia yang sukar didapati di kawasan mereka.
“Bagaimanapun, Nis Spice telah memasuki beberapa pasaran tempatan juga seperti Mydin dan Maslee Express.
“Sijil halal sememangnya penting seumpama ‘kunci’ untuk kami mengeksport produk ini lebih mudah kerana telah diiktiraf halal serta mematuhi prosedur-prosedur yang telah ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Amirrulfaiz, sijil halal yang dimiliki itu untuk memastikan produk yang dijual adalah bersih dan suci.
“Selain itu, kami juga mementingkan kebersihan dan kualiti dalam menghasilkan produk dan sijil halal ini adalah bukti bahawa produk yang dihasilkan dari mula proses sehingga menjadi produk adalah bersih dan suci dari sebarang bahan-bahan yang dilarang atau tercemar.
“Kami juga memastikan setiap kawasan pengeluaran berada dalam keadaan baik dan bersih,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Nis Spice juga mensasarkan produk di bawah industri makanan dijual lebih tiga tan rempah, manakala untuk peruncitan di pasar raya atau pasar raya besar lebih RM10,000 sebulan.
“Terdapat 50 jenis rempah serta herba yang disenaraikan untuk industri makanan dan tujuh jenis rempah segera di pasar raya dan pasar raya besar.
“Antara nya ialah perencah perap sate,perencah kari,perencah sup,serbuk cili,serbuk lada Sarawak.
“Bagi produk yang dijual di supermarket atau hypermarket 1 paket 50 gram (gm) atau 40 gram (gm) hanya RM4.50 sepeket.
“Untuk produk di bawah industri makanan bergantung kepada jenis rempah, kami menyediakan pembungkusan dalam bentuk satu kilogram (kg), lima kg serta 25 kg mengikut permintaan dari pelanggan,” katanya. – UTUSAN