PETALING JAYA: Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) komited dalam memastikan penjenamaan bukan sahaja dikenali sebagai rangkaian pemborong dan peruncit tempatan halal terbesar di Malaysia, malah dapat menawarkan tawaran terbaik kepada pelanggannya.
Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pihaknya kini dalam usaha untuk mengoptimumkan lagi perkhidmatan dan pemasaran mereka agar penjenamaan Mydin menjadi pilihan utama pelanggan.
Menurutnya, dalam masa sama, kumpulannya berusaha untuk menawarkan harga yang berpatutan dan mampu milik, selaras dengan objektif meningkatkan jumlah pelanggan mereka dari tahun ke tahun.
“Walaupun berkemungkinan berlaku kenaikan harga barang yang disumbangkan oleh beberapa faktor lain, sudah tentu Mydin juga akan turut terkesan.
“Namun, kami sentiasa memastikan harga barangan di pasar raya kami lebih kompetitif.
“Ini bagi memastikan Pasaraya Mydin sentiasa menjadi perhentian utama, lebih-lebih lagi bagi tujuan pembelian barangan keperluan isi rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah beliau, buat masa ini, kumpulan bersiap sedia sekiranya berlaku kenaikan harga barang seperti yang diuar-uarkan ekoran kesan daripada penyasaran subsidi diesel yang bermula pada 10 Jun lalu.
Katanya, berdasarkan tinjauan kumpulan setakat ini, masih tidak berlaku kenaikan harga terhadap barang yang dikenal pasti disebabkan oleh caj lebih dikenakan oleh pemborong dan pembekal selepas pelarasan subsidi.
“Justeru, saya ingin menasihati pelanggan agar tidak terpedaya dengan desas-desus kenaikan harga tersebut, dan yakin dengan pilihan untuk memilih Mydin sebagai pusat beli-belah mampu milik,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Mydin terus memastikan pihaknya dapat menyediakan pengalaman membeli-belah yang lebih menyeronokkan dan lancar.
“Strategi ini diyakini dapat meningkatkan lagi maklum balas positif daripada pelanggan terhadap perkhidmatan pasar raya kami,” katanya.
Justeru, baru-baru ini, Mydin melancarkan aplikasi e-dompet MYDINPay yang bertujuan mewujudkan inovasi baharu bagi pelanggannya untuk menikmati pengalaman membeli-belah yang lebih memudahkan.
Susulan pelancaran tersebut, Mydin memecah rekod sebagai peruncit dan pemborong pertama di negara ini yang melaksanakan aplikasi berkenaan. – UTUSAN