MUKADIMAH
IGenerasi Milenial dan Generasi Z (Gen Z) berada di barisan hadapan dalam landskap pembayaran digital, dan permintaan mereka yang semakin meningkat untuk perbankan Islam menekankan keperluan untuk inovasi berterusan dalam penyelesaian pembiayaan Islam.
Walaupun, generasi muda yang celik teknologi mengharapkan pengalaman transaksi yang lancar dan akses yang lebih cepat, ini menimbulkan persoalan penting bagi cara untuk menhubungkan jurang antara prinsip perbankan Islam tradisional dan harapan digital masa kini. Baru-baru ini, Wartawan Utusan Malaysia, Hendra Winarno berpeluang menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Perbankan Islamik Silverlake Axis (SAL), Othman Abdullah mengenai isu ini.
UTUSAN: Bagaimana perilaku golongan muda terutamanya Gen Z dan Milenial dalam penggunaan dan pengurusan kewangan mempengaruhi keperluan kewangan digital Islamik dalam lanskap terkini?
OTHMAN: Generasi Milenial dan Gen Z secara amnya dikenali sebagai ‘digital native’ daripada media sosial hingga ke e-dagang, aktiviti harian sangat bergantung kepada teknologi dan membuatkan mereka mengharapkan tahap integrasi digital yang tinggi dalam perkhidmatan kewangan termasuk perkhidmatan kewangan Islam.
Menurut tinjauan oleh Visa, hampir 70 peratus pengguna Malaysia kini aktif menggunakan pembayaran kad tanpa sentuh, manakala usaha ke arah solusi kewangan tanpa tunai adalah agak tinggi, terutamanya didorong oleh pengguna yang lebih muda. Bagi generasi ini, pengalaman, kemudahan dan keboleh capaian pengguna adalah sangat penting.
Mereka juga sentiasa mencari pilihan terbaik untuk menguruskan kewangan mereka dengan lancar, dapat dicapai pada bila-bila masa dan di mana juga mereka berada. Malah, jangkaan mereka terhadap perkhidmatan kewangan digital tidak terhad kepada transaksi perbankan asas sahaja, tetapi turut mengharapkan satu ekosistem kewangan Islam digital yang menyeluruh seperti pembayaran zakat dalam talian, platform pelaburan halal digital dan sistem perancangan kewangan patuh Syariah.
Dengan permintaan kewangan Islam berasaskan digital yang semakin meningkat di kalangan generasi Milenial dan Gen Z, ia sangat penting untuk industri kewangan Islam terus berinovasi dalam usaha membangunkan teknologi kewangan Islam.
Apakah langkah yang boleh diambil pihak bank untuk memenuhi keperluan generasi muda dan pada masa sama memenuhi prinsip perbankan islam?
Institusi perbankan yang menyediakan produk yang menepati garis panduan syariah harus lebih peka dengan keperluan dan jangkaan generasi muda untuk menarik mereka menggunakan produk dan servis yang patuh Syariah.
Paling asas, pihak bank perlu menyediakan produk dan servis kewangan patuh syariah yang boleh dicapai omelalui kemudahan teknologi perbankan mudah alih yang sesuai dengan keperluan semasa.
Selain itu, pihak bank juga perlu menyediakan produk dan servis patuh syariah yang menepati gaya hidup golongan muda seperti perancangan kewangan individu dan perancangan belanjawan. Pihak bank juga akan dapat membantu golongan muda untuk memenuhi Syariat Islam seperti membayar zakat fitrah, berwakaf dan bersedekah dengan menyediakan servis seperti ini melalui platform perbankan digital.
Berdasarkan kajian yang menunjukkan kurang separuh daripada Gen Z dan generasi Millenial menggunakan institusi kewangan yang sama dengan ibu bapa mereka pada tahun 2021. Ini jelas menunjukkan bank mesti menggunakan teknologi inovatif untuk menarik dan mengekalkan pelanggan dikalangan generasi muda yang celik teknologi.
Oleh itu, institusi kewangan Islam perlu terus melabur dalam memperkukuh dan meningkatkan kemahiran kumpulan bakat teknologinya dengan kemahiran dan pengetahuan teknologi yang tinggi untuk menyokong pertumbuhan inovasi dan seterusnya mempertingkatkan keupayaan mereka khususnya dalam teknologi kewangan Islam.
Apakah potensi yang boleh diterokai untuk industri kewangan Islam untuk memenuhi keperluan pengguna yang kini lebih celik teknologi?
Memandangkan transformasi digital terus merubah landskap kewangan, penggunaan platform perbankan digital dan penyediaan teknologi kewangan alternatif merupakan potensi utama bagi industri kewangan Islam untuk terus memenuhi keperluan pengguna celik teknologi yang menuntut perkhidmatan kewangan yang lancar, mudah dan sentiasa boleh diakses tanpa mengira tempat dan waktu.
Seiring dengan industri kewangan Islam yang terus berkembang, pembangunan ciri tambahan dalam aplikasi perbankan dan pelaburan patuh syariah seperti kemudahan pembelian saham Tawaran Awam Permulaan (IPO), pembelian emas dan lain-lain juga adalah potensi yang belum diterokai untuk memenuhi keperluan golongan muda yang celik teknologi.
Usaha ini sangat bersesuaian bersandarkan kepada laporan baru-baru ini yang menyatakan 48 peratus daripada Gen Z telah pun memulakan pelaburan. Turut dilaporkan, 50% generasi Milenial juga yang telah mengambil langkah serupa ke arah pelaburan.
Seterusnya, dengan usahasama strategik pemain industri teknologi kewangan, teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), rantaian blok dan analitik data raya boleh dimanfaatkan untuk membangunkan penyelesaian kewangan patuh Syariah yang lebih inovatif. Ia berpotensi membantu dalam usaha penyediaan kemudahan kewangan yang lebih inklusif untuk memberi peluang kepada segmen yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan Islam.
Silverlake Axis sentiasa menyokong industri teknologi kewangan dan sering menyertai persidangan kewangan Islam tempatan dan juga di peringkat dunia seperti Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) dan Forum Kewangan Islam Global (GIFF) untuk berkongsi pemikiran dalam bidang ini.
Kami juga yakin dengan usaha berterusan agensi kerajaan seperti Bank Negara Malaysia dalam meningkatkan peranan dan sumbangan kewangan Islam di negara ini akan turut membantu mematangkan lagi industri teknologi kewangan Islam dan seterusnya dapat memenuhi keperluan pengguna yang semakin celik teknologi.
Malaysia kini mendahului penggunaan e-dompet di dunia, bagaimanakah trend ini akan mempengaruhi strategi SAL dalam tawaran kepada penggunanya atau bank?
SAL adalah penyedia teknologi kewangan bertaraf dunia yang akan sentiasa meyokong dan membantu penyediakan solusi teknologi kepada institusi kewangan. Secara asasnya, SAL sudahpun menyediakan solusi teknologi yang memungkinkan institusi kewangan di Malaysia menyediakan produk dan servis e-dompet.
Untuk menyokong usaha e-dompet servis yang lebih canggih dan berupaya menyediakan produk yang lebih menyeluruh memenuhi gaya hidup pelangan, SAL akan terus berinovasi menggunakan teknologi canggih terkini seperti teknologi kecerdasan buatan (AI).
Laporan tahunan Bank Negara Malaysia baru-baru ini mendedahkan bahawa transaksi e-pembayaran telah meningkat dengan ketara kepada 11.5 bilion pada 2023, berbanding 9.5 bilion pada 2022. Pertumbuhan ini memerlukan kestabilan teknologi kewangan yang tinggi bagi mengelakkan sebarang gangguan dalam operasi perniagaan. Untuk mencapai matlamat ini, adalah penting untuk menggunakan strategi dan teknologi teguh yang boleh mengendalikan permintaan yang meningkat dan mengekalkan operasi yang lancar.
Untuk memastikan kestabilan dan meningkatkan keupayaan kami, SAL secara aktif terlibat dalam perkongsian strategik untuk menambah baik pelbagai aspek operasi kami. Sebagai contoh, SAL baru-baru ini bekerjasama dengan aplikasi Kewangan-sebagai-Perkhidmatan (FaaS) 6Estates untuk menambah baik proses sistem perbankan teras kami. Perkongsian ini memanfaatkan teknologi AI untuk menyelaras dan mengoptimumkan operasi perbankan, menyediakan perkhidmatan yang lebih pantas dan tepat kepada pelanggan kami.
Kerjasama kami dengan 6Estates hanyalah satu daripada banyak langkah yang kami ambil untuk memastikan sistem kami berdaya tahan, berskala tinggi dan mampu menyokong pertumbuhan kami terutamanya untuk kewangan Islam dan untuk menyokong industi PKS. Teknologi AI akan membantu mempercepatkan pemprosesan meluluskan permohonan pembiayaan dan mengurangkan kemungkinan penipuan.
Boleh kongsikan visi SAL mengenai masa hadapan perbankan Islam di Malaysia?
Kami berharap dapat mengadakan kerjasama yang lebih baik dengan institusi perbankan Islam, rakan-rakan kongsi, agensi pengawal selia dan institusi-institusi pendidikan yang dapat memupuk ekosistem yang dinamik dan inovatif demi menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan keseluruhan sektor dengan menyediakan ekosistem digital patuh Syariah yang kukuh dan mampan. – UTUSAN