MAHB disaran terima tawaran penswastaan - Utusan Malaysia

MAHB disaran terima tawaran penswastaan

MALAYSIA merekodkan kedatangan lebih tinggi pelancong asing selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MIDF Amanah Investment Bank Berhad menyarankan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) menerima tawaran penswastaan pada harga sasaran (TP) RM11 dan mengekalkan saranan ‘beli’ bagi Capital A (TP: RM1.06).

Bank pelaburan itu berkata, MAHB sedang giat mengejar 15 syarikat penerbangan asing tambahan untuk beroperasi di negara ini dalam tempoh dua tahun akan datang.

“KUL (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) kini memberi perkhidmatan kepada 70 syarikat penerbangan, melebihi tahap pra pandemik pada 69 syarikat penerbangan.

“Setakat ini, kira-kira tujuh syarikat penerbangan asing tambahan telah memulakan perkhidmatan ke Kuala Lumpur. Menjelang akhir tahun, tiga lagi syarikat penerbangan iaitu British Airways, Thai VietJet dan 9 Air dijangka mula beroperasi,” katanya dalam nota penyelidikan.

Tambahnya, bagi meningkatkan perjalanan udara, MAHB telah membuat pelaburan yang besar dalam inisiatif seperti Program Airline X-celeration, yang menawarkan pengecualian yuran pendaratan, rebat sewa pejabat lapangan terbang dan sokongan pemasaran.

“Kira-kira RM3.0 juta telah diperuntukkan untuk sokongan pemasaran di laluan Malaysia-China sahaja. Kadar pemulihan untuk sektor ini pada suku pertama 2024 adalah pada 78 peratus,” jelasnya.

Bank pelaburan berkata, pihaknya kekal neutral dengan sektor penerbangan dengan unjuran menunjukkan pertumbuhan 2.0 peratus berbanding tahap 2019, selaras dengan ramalan julat tinggi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

“Walau bagaimanapun, potensi risiko termasuk kelewatan dalam pengaktifan semula armada penuh AirAsia dan gangguan dalam penghantaran pesawat Boeing kepada syarikat penerbangan tempatan yang boleh memberi kesan kepada unjuran ini,” katanya.

MIDF berkata, trafik penumpang di Malaysia terus menunjukkan kemajuan kukuh, mencecah 7.7 juta penumpang pada Mei 2024, menandakan angka kedua tertinggi dari awal tahun setakat ini, hanya di belakang Februari 2024.

“Pemulihan keseluruhan 97 peratus (domestik: 95 peratus, antarabangsa: 99 peratus) adalah disebabkan oleh cuti umum dan musim cuti sekolah bulan lepas.

“Usaha proaktif oleh kedua-dua syarikat penerbangan tempatan dan asing untuk mengembangkan ketersediaan tempat duduk terus menyumbang kepada pemulihan ini.” ujarnya.

Menurutnya, sektor antarabangsa telah mengatasi sektor domestik dari segi pemulihan untuk tujuh bulan berturut-turut, trend ini mungkin disebabkan oleh pengecualian visa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN