PETALING JAYA: Kenanga Research mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor minyak dan gas didorong ramalan peningkatan pertumbuhan permintaan bagi minyak mentah.
Firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan permintaan untuk minyak mentah meningkat sebanyak 0.8 juta tong sehari pada 2024.
Sehubungan itu, Kenanga Research menjangkakan pemotongan pengeluaran Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) secara sukarela akan berterusan sepanjang 2024.
“Namun OPEC akan meningkatkan semula pengeluaran pada 2025 yang mana keadaan itu akan mendorong pasaran minyak yang lebih baik pada tahun depan.
“Pada pandangan kami, OPEC akan melonggarkan pemotongan pengeluarannya secara beransur-ansur pada akhir 2024,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurutnya, OPEC akan meningkatkan pengeluaran sebanyak satu juta tong sehari, sekali gus mengurangkan pemotongan pengeluaran daripada 2.2 juta tong sehari kepada 1.2 juta tong sehari.
Pada masa sama, firma penyelidikan itu mengekalkan ramalan bagi harga minyak mentah Brent pada AS$84 setong bagi 2024 dan AS$79 setong pada 2025.
“Setakat ini, harga minyak mentah Brent mempunyai purata berjumlah AS$84.2 setong.
“Kami menjangkakan harga Brent akan melemah sedikit pada suku ketiga 2024 dan mengukuh pada suku keempat 2024 apabila musim sejuk memberi kesan kepada ekonomi Barat,” katanya.
Sementara itu, katanya, Petronas akan menumpukan semula perbelanjaan modalnya kepada industri huluan dalam Malaysia.
“Kami mendapati bahagian belanjawan domestik meningkat 20 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2024, berbanding jumlah peningkatan belanjawan kumpulan adalah dua peratus tahun ke tahun.
“Sebanyak 10 peratus daripada belanjawan diperuntukkan kepada penyelesaian tenaga dan projek penyahkarbonan,” katanya.
Kenanga Research turut menjangkakan aliran tersebut akan berterusan sepanjang 2024 dengan memanfaatkan penyedia perkhidmatan huluan yang terdapat di Malaysia.
“Oleh itu, kami percaya ini memberi petanda yang baik untuk penyedia perkhidmatan huluan tempatan, terutamanya mereka yang memiliki aset luar pesisir seperti pelantar jack-up dan kapal sokongan luar pesisir (OSV).
“Pemain industri dalam perkhidmatan huluan domestik kini menanti peluang bagi peningkatan permintaan yang kukuh daripada Petronas dan pengeluar minyak lain,” katanya.
Namun, firma penyelidikan itu berpandangan, pasaran OSV sama ada di dalam dan di peringkat global masih belum mencapai kemuncaknya, walaupun beberapa subsegmen kapal mencapai kadar pajakan harian (DCR) tertinggi sepanjang masa.
Menurutnya, salah satu sebab utama pasaran OSV belum mencapai tahapnya, berkemungkinan bekalan OSV domestik dijangka tidak berkembang dengan ketara pada 2024 dan 2025.
“Aliran pesanan yang besar bagi pembinaan baharu OSV juga masih tiada,” katanya. – UTUSAN